Selasa, 14 Mei 2013

Pasca PRU13 : Pandangan & Luahan Pembaca Berita Semasa. BN & PR Perlu Berubah “Demi 28 Juta Rakyat Malaysia”

Staff Berita Semasa
 
Undi Cina PRu13

Pasca PRU13 : Adalah sangat pelik apabila media arus perdana seperti akhbar Utusan Malaysia & Kosmo mengeluarkan tajuk yang berbau perkauman pada hari yang sama 7 Mei 2013 iaitu 2 hari selepas PRU13. 

Kenyataan balas seorang yang bergelar seorang Perdana Menteri, Najib Razak apabila ditanya seakan-akan mempertahankan kenyataan berbaur perkauman ini seperti perkara itu (isu racism) memang sudah biasa dalam akhbar masyarakat Cina. Sangat bertentangan dengan laungan 1 Malaysia yang dilaung-laungkannya sebelum ini. Benar atau tidak?

Melihat kepada perkembangan politik Negara sejak akhir-akhir ini, seperti akan ada perubahan besar terhadap kepimpinan kerajaan sekarang dan kemungkinan untuk kerajaan kalah seperti benar-benar akan berlaku. Kemungkinan untuk parti Barisan Nasional (BN) kalah adalah sangat tinggi kerana perubahan luar biasa sokongan orang muda yang dilihat lebih memihak kepada pembangkang.

Dan juga apat dilihat dalam kebanyakan kemaksini informasi terkini kalangan pengguna Internet di media alternatif (facebook). Namun apabila keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) diumumkan DI SINI, keputusannya adalah luar daripada jangkaan dan seperti tidak langsung menggambarkan perubahan angin yang berlaku di laman media sosial.

Malaysia Election Result 2013

Bila saya berfikir sejenak, saya merasakan saya tahu mengapa (keputusan luar jangkaan) ini berlaku, namun saya tidak pasti ia betul ataupun tidak. Dengan keadaan politik Malaysia yang saya fikir sangat teruk ketika ini, (sering kali berlaku tuduh menuduh antara 2 pihak sehingga kita tidak dapat menilai mana yang betul dan mana yang salah) membuat keputusan dengan menimbangkan sumber dari sebelah pihak sahaja adalah sesuatu yang sangat salah dengan keadaan politik Negara kita sekarang.

Keputusan PRU13 : Harapan Keluarga

BN Menang PRU13 

Dengan mengambil tauladan dari pengalaman saya sendiri baru-baru ini, yang balik untuk kali pertama menggundi, undian saya sebenarnya sangat dipengaruhi oleh keluarga, dan saya terfikir sekiranya semua pengundi muda dipengaruhi oleh keluarga mereka untuk menentukan pemimpin Negara, memang patut la keputusan pilihanraya baru-baru ini berlaku sedemikian rupa.Pengaruh kuat keluarga mempengaruhi saya sehinggakan saya menurut sahaja kehendak keluarga untuk mengundi pemimpin pilihan mereka. Faktor sokongan kuat keluarga terhadap sesuatu parti banyak mempengaruhi sebenarnya.

Ibu bapa saya adalah penyokong kuat kerajaan sekarang, yang diangkat merupakan tunggak kestabilan negara kini. Saya mendapati daripada perbualan mereka dan ada kalanya saya berbual dengan mereka sendiri, mereka lebih utamakan “keamanan” dan sangat takut sekiranya kerajaan kalah. Apabila saya bertanya kenapa, mereka menghujahkan akan berlaku huru-hara sekiranya pakatan rakyat memegang kuasa, pandangan mereka Cina akan mengatasi Melayu Melalui DAP, dan DAP semestinya dianggap parti orang Cina. Dan kerajaan baru (pembangkang) akan menyebabkan hak Istimewa orang Melayu dihapuskan dan kesannya anak cucu kita pada masa akan datang akan merana.

Pegangan ini terlalu kuat sehinggakan ibu saya selalu melakukan sembahyang hajat dan sering berdoa supaya kerajaan sekarang ini kekal memerintah, ibu saya sering memberitahu  yang dia selalu takut memikirkan keputusan pilihan raya yang mungkin tidak akan memihak kepada kerajaan, hal ini mungkin sama berlaku kepada orang lain yang menyokong kuat kerajaan, mereka takut sekiranya berlaku ketidakamanan disebabkan risiko pembangkang yang tidak kukuh berdiri dan sering bertelagah seperti yang disiarkan media arus perdana.

Keputusan PRU13 : Peranan Besar Propaganda Media Arus Perdana

“Saya sangat yakin tanggapan mereka terhadap kerajaan dan pembangkang sekarang ini amat berkait rapat dengan pengaruh media arus perdana yang sering memaparkan keseluruhan aspek positif kerajaan dan keseluruhan aspek negatif di sebelah pembangkang pembangkang.”
UMNO PRU13 

Ibu saya hanya penyokong biasa parti kerajaan sekarang dan bukanlah jentera parti yang dilantik untuk memegang jawatan diperingkat kampung atau kawasan, saya tidak terfikir sekiranya kerajaan tumbang akan menyebabkan mata pencarian keluarga saya terjejas. Itu tidak berkaitan langsung. Lainlah kawan kepada isteri saya yang bekerja dengan wakil rakyat BN di kawasan kami, saya melihat sendiri bagaimana mereka menjadi amat sedih apabila wakil rakyat mereka kalah pada peringkat DUN baru-baru ini. Jentera parti yang dilantik sebenarnya saya lihat lebih mengutamakan masa depan mereka berbanding berkhidmat untuk masyarakat, tetapi tidak boleh hendak menyalahkan mereka kerana itu (bekerja dengan wakil rakyat) merupakan punca pencarian untuk menyara keluarga mereka.

Berbalik kepada ibu saya, saya memikirkan keresahan beliau selama ini disebabkan takut kekalahan kerajaan akan menyebabkan nasib & masa depan anak cucu mereka terumbang-ambing pada masa akan datang, gambaran tersebut disampaikan secara jelas dalam media arus perdana baru-baru ini. Seperti ada agenda daripada kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya jangan berpaling meminggirkan kerajaan, terus setia kepada kerajaan, maka negara akan terus aman, ini ditambah lagi dengan gesaan Perdana menteri sendiri termasuk mantan perdana menteri tun Mahathir dalam setiap ucapannya menjelang Pilihanraya Umum ke 13.

Hak Keistimewaan Orang Melayu

Memang benar, orang Melayu kini sangat bergantung kepada peruntukan hak Istimewa, kehilangan hak ini akan membawa alamat buruk kepada orang Melayu dan boleh mencetuskan kekecohan dan ketidakpuasan hati seluruh orang Melayu, jika hendak dibandingkan dengan pengaruh penguasaan ekonomi, Orang Melayu memang tidak dapat menandingi orang Cina.

Pendapat saya, hak istimewa orang melayu sebenarnya sukar untuk digugat walaupun kerajaan baru cuba mengubahnya, majoriti orang Melayu (70% kompisisi negara ini) akan menentang keras & perubahan itu perlu melalui 2/3 majoriti suara parlimen, kelulusan Agong serta Majlis Raja-raja. Kita (melayu) sebenarnya kuat (dalam pertahankan hak istimewa) sebab kita mempunyai Sultan  yang dianggap sebagai payung untuk orang Melayu, saya pelik dan kecewa kepada sesetengah orang Melayu sendiri mempertikaikan keberadaan raja kita sekarang (bagai tiada function).

Saya berpendapat Ia menjadi penyumbang besar kepada keputusan PRU13 baru-baru ini dan menjadi jawapan mengapa perubahan sokongan yang berlaku di media sosial tidak dapat diterjemahkan dalam keputusan pilihanraya seperti yang sepatutnya.

Media Arus Perdana PRU13

Keputusan PRU13 : Pakatan Rakyat Dilihat Masih Rapuh

Memang tidak dinafikan sememangnya pakatan pembangkang tidak sekukuh kerajaan kerana banyak faktor. Anwar Ibrahim (dipenuhi banyak kontroversi) sama ada beliau benar ataupun tidak, pas terikat dengan DAP, dan DAP sendiri tidak mahukan Negara Islam (Hudud), PAS juga seakan-akan tidak berpijak dibumi nyata apabila tidak langsung meletakkan secara hitam putih dalam manifesto Pakatan berkenaan Undang-undang islam (hukum Hudud) seperti yang dicanangkan sebelum ini. Banyak lagi yang perlu diperbaiki, masing-masing ada kekurangan termasuk kerajaan yang memerintah sekarang.

Kekuatan pembangkang sekarang hanyalah dengan mensensasikan isu-isu kontroversi iaitu “lompong” pemerintahan kerajaan sekarang. Manifesto Pakatan memang tidak dapat dinafikan adalah sangat menarik, namun ada perkara yang sangat penting perlu diselesaikan sebelum boleh dilaksanakan iaitu kekuatan dalaman pembangkang itu sendiri.

General Election Result 2013

Pendapat saya juga, pembangkang perlu menjadi kuat sebelum boleh memegang tampuk pimpinan, jauhkan parti dari kontroversi kerana isu itu akan terus menjadi duri dalam daging pembangkang, bersatu membentuk 1 jentera parti yang kuat kerana perbezaan pendirian antara PAS dan DAP mencacatkan keutuhan Pakatan, dan yang paling utama pulihkan keyakinan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu bahawa Pembangkang juga boleh membawa kesejahteraan dan masa depan yang baik kepada negara kelak.

Sekian, ini hanya padangan saya sebagai salah seorang rakyat biasa yang melihat perkembangan politik negara, saya tidak berharap apa yang saya tulis ini disiarkan dan saya sendiri sebenarnya lebih suka berdiam diri dari mengeluarkan pendapat dalam media sosial kerana, saya melihat kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan politik negara seakan-akan hilang pertimbangan apabila memberikan pendapat masing-masing. Kadang kala ia berlarutan dan berakhir dengan ketidakpuasan hati bagi pihak masing-masing..
Saya menulis ini kepada admin Berita Semasa kerana saya melihat Berita Semasa adalah satu-satunya wadah yang sangat telus dalam menilai perkembangan politik negara. Setiap kali saya membaca update terbaru dari Berita Semasa, saya sering kali bersetuju dan mempunyai pandangan yang sama seperti yang diutarakan oleh penulis Berita Semasa.
[Daripada saudara Ahmad Khairi]
 
Apa pandangan dan pendapat anda pula bagi pasca PRU13 ini?

P/S : Jika anda bukan tergolong daripada kalangan yang taksub kepada parti andadan mempunyai pandangan & luahan yang mahu dikongsikan bersama Pembaca Berita Semasa di sini, hantarkan kepada kami di alamat email ini, hi.beritasemasa@gmail.com

Tiada ulasan: