Isnin, 20 Mei 2013

Pas tolak kekerasan

SAPINAH AB GHANI

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan selari dengan pendirian pimpinan parti itu di peringkat pusat yang tidak akan menyokong sebarang bentuk kekerasan jalanan untuk menjatuhkan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sejak dulu hingga sekarang Pas sentiasa memilih jalan demokrasi kerana berpendirian itu pendekatan terbaik untuk menukar kerajaan sedia ada ke arah lebih baik.

“Dalam hal ini, saya teguh bersama kepimpinan Pas Pusat yang menegaskan bahawa dari dulu hingga sekarang sentiasa memilih jalan demokrasi berasaskan kepada pendirian bahawa itulah jalan terbaik setakat ini untuk menukar kerajaan yang sedia ada di Malaysia kepada kerajaan yang lebih baik.

“Bermakna saya juga tidak bersetuju dengan jalan kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan dan juga memohon agar proses pilihan raya dihormati,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau juga menggesa pihak- pihak yang mendesak agar pilihan rakyat dihormati turut menghormati pilihan rakyat Kelantan.

“Jika pilihan rakyat Kelantan tidak dihormati, bagaimana pilihan rakyat di tempat lain akan dihormati,” katanya.

Menurutnya, ini kerana situasi semasa menyaksikan pelbagai hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan disekat.

“Saya mengambil contoh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan yang tidak wujud di negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN), tidakkah ini menunjukkan bahawa pilihan rakyat tidak dihormati sehingga mewujudkan kerajaan dalam kerajaan,” katanya sambil mengingatkan ini masa untuk bekerja demi kebaikan rakyat.

Tiada ulasan: