Jumaat, 24 Mei 2013

Keris buat laporan polis terhadap Malaysiakini kerana menghasut

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kelab Warisan Malaysia (Keris) hari ini membuat laporan polis terhadap portal Malaysiakini.com yang menyiar dan menyebarkan ucapan seorang panel dalam satu forum tertutup 12 Mei lepas.

Presidennya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang juga seorang peguam percaya penyiaran artikel bertajuk 'Pengkhianatan orang Cina itu benar' dalam portal berkenaan semalam berniat untuk menghasut.
"Malaysiakini pada pukul 1.43 petang semalam telah memuatnaik berita itu dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Berita-berita itu adalah berkaitan transkrip ucapan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah dalam forum bertajuk 'Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah', katanya selepas membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.

Beliau percaya berita itu boleh terjumlah kepada satu kesalahan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 kerana Malaysiakini telah bertindak menyebarkan suatu ucapan pada majlis tertutup dan tidak diniatkan oleh penganjur atau pengucapnya untuk disebar secara meluas kepada pengetahuan umum.

Mohd Khairul dalam pada itu menegaskan bahawa ucapan Mohd Noor pada forum berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara adalah berbentuk konstruktif mengikut peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sesuai dengan kedudukan dan kepakaran beliau selaku bekas hakim Mahkamah Rayuan.

"Ucapan beliau itu tidak seharusnya digelar sebagai rasis kerana beliau hanya bercakap tentang peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: