Rabu, 22 Mei 2013

JKR siasat kejadian bumbung masjid Kampung Binjai Kertas runtuh


THE MALAYSIAN INSIDER
 
HULU TERENGGANU— Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menyiasat punca bumbung masjid Kampung Binjai Kertas, di sini runtuh malam tadi. Pengarahnya Datuk Shafii Mohamad berkata pihaknya telah memanjangkan kes itu kepada JKR pusat di Kuala Lumpur untuk menghantar tenaga pakar bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Katanya kejadian runtuhan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerja pembinaan dan pemasangan masjid bernilai RM1.7 juta itu mendapat kelulusan JKR dan telah mengikut prosedur ditetapkan.

"Siasatan awal yang kami lakukan dapati runtuhan itu melibatkan bahagian anjung di luar kawasan jemaah namun siasatan lanjut berhubung perkara ini akan dilakukan pasukan forensik dari Kuala Lumpur esok," katanya kepada pemberita semasa melawat tempat runtuhan, di sini hari ini.

Malam tadi 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh.


"Daripada segi pelaksanaan projek yang dibuat dari 2006 sehingga 2008 semua mengikut prosedur.
"Kita (JKR) tidak nampak masalah ataupun apa-apa yang tidak betul tapi kita tidak pasti dari segi design mahupun cara pemasangan namun kita belum pasti lagi dan kita tunggu sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya. — Bernama

Tiada ulasan: