Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP mahu Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan mendesak agar pihak berkuasa bertegas menghentikan semua kenyataan dan tindakan pihak tertentu yang terus membakar sentimen perkauman.
Sentimen perkauman seolah-olah sengaja disemarakkan media kawalan UMNO hingga menjadi rentetan tuduhan emosional Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang melihat kemenangan besar Pakatan Rakyat (PR) pada PRU ke-13 lalu sebagai ‘tsunami Cina’.
Selaras dengan gagasan 1Malaysia, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua dalam kenyataannya meminta agar Perdana Menteri menunjukkan keikhlasan perjuangan beliau dan bertanggungjawab terhadap apa jua tindak-tanduk yang boleh mengancam keharmonian negara.
“Perdana Menteri bercakap mengenai “perpaduan nasional” pada malam keputusan pilihan raya diumumkan tetapi apa yang kami saksikan sekarang ialah “perpaduan nasional yang semakin buruk” dan beliau sendiri seperti tidak mampu mengawalnya.
“Kami dapat lihat selepas itu bagaimana Utusan Malaysia menambah burukkan lagi keadaan dengan menyalahkan masyarakat Cina berikutan keputusan yang berlaku,” ujar Pua.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, tajuk “Apa lagi Cina mahu?” pada muka depan Utusan Malaysia dan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa “Cina tolak salam persahabatan orang Melayu” memburukkan lagi keadaan.
“Sebagai rakyat Malaysia yang bertamadun, kita tidak boleh menerima serangan Utusan Malaysia ke atas CEO AirAsiaX, Azran Othman yang menuduh beliau ‘anti-Melayu’, ‘lupa asal usul’ semata-mata disebabkan kenyataan beliau; “Saya rakyat Malaysia. Saya anti perkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan”.
“Kami berasa hairan dan terkejut bagaimana Utusan Malaysia tergamak mencerca mereka yang menentang perkauman,” katanya.
Keadaan bertambah ‘sakit’ apabila media kawalan UMNO dan blogger mereka menyeru untuk memboikot “perniagaan orang Cina”. Ini termasuk pertubuhan yang mempunyai hubungan dengan mereka seperti Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Apa yang lebih menyedihkan kata Pua adalah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang berkata kerajaan tidak menyokong tindakan itu tetapi menyifatkan mereka mempunyai hak untuk membuat seruan boikot itu memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang bebas.
“Kita tak boleh nafikan bahawa sesiapa pun mempunyai hak peribadi, memilih untuk menjadi rasis tetapi menjadi tugas kerajaan menegur dan bertindak terhadap seruan sebegitu kerana ianya memang tidak sihat untuk perpaduan negara.
“Justeru kami di dalam PR-DAP menyeru seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran dan waras untuk bersatu menentang semua ajakan, hasutan dan tindak-tanduk yang menyemarakkan api perkauman kerana kami semua adalah rakyat Malaysia,” ujar Pua lagi.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan