SINAR HARIAN
BALING - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya
Kedah Datuk Tajul Urus Md Zin hari ini meluahkan rasa kesal atas
tindakan Rektor Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) Datuk Dr Jamil
Osman yang meletak jawatan secara mendadak.
Katanya sekalipun kerajaan negeri kini diteraju Barisan Nasional (BN),
Jamil sepatutnya lebih profesional dan mengetepikan perbezaan politik
demi menangani masalah yang dihadapi Insaniah.
"Pagi tadi saya berkesempatan melawat ke Kampus Mergong, Alor Setar dan bertemu dengan kesatuan pelajar.
Ada dua rungutan utama iaitu berhubung kelayakan pensyarah dan juga
kemudahan asrama serta surau yang perlu ditambah baik, manakala sebelah
petang saya berkunjung ke kampus di Kuala Ketil di sini.
"Ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan rektor, tetapi
saya dimaklumkan tadi bahawa rektor sudah menghantar surat peletakan
jawatan pada 20 haribulan lalu.
Saya juga agak kecewa, sepatutnya rektor juga ada bersama hari ini,"
katanya ketika ditemui media selepas melawat kampus Insaniah di Kuala
Ketil.
Menurut Tajul Urus, beliau dimaklumkan oleh pihak pentadbiran Insaniah
peletakan jawatan Jamil berkuat kuasa pada hari beliau menghantar surat
iaitu Isnin lepas.
Tajul Urus dipertanggungjawabkan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr
Mahathir untuk melihat masalah yang dihadapi Insaniah serta mengemukakan
penyelesaian yang menjamin kebajikan pelajar dan warga kerja Insaniah.
Antara masalah berkenaan ialah dakwaan warga kerja Insaniah bahawa
pihak pengurusan menyeleweng kerana gagal melakukan caruman kepada pihak
ketiga walaupun pemotongan gaji dicatat pada slip gaji mereka.
Kerajaan negeri dan Insaniah juga terpaksa membayar pinjaman bank
sebanyak RM46 juta setahun bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil.
Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang menyukarkan kehidupan pelajar yang terpaksa berpindah-randah.
BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika Kedah diteraju Pas sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.
Mengulas pelantikan rektor baru, Tajul Urus berkata seorang pentadbir
akan ditempatkan di situ sementara menunggu pelantikan baharu oleh
Lembaga Pengarah Insaniah.
Mengenai hasil lawatannya hari ini, beliau berkata ada beberapa perkara
yang dibangkitkan termasuk mengenai kursus yang ditawarkan dan bilangan
pelajar.
"Kita akan minta laporan menyeluruh daripada Insaniah dan akan berjumpa
dan berbincang dengan Menteri Besar untuk buat cadangan dan keputusan.
Apa yang penting, kita mahu Insaniah sama seperti kolej-kolej swasta terkemuka yang lain," katanya.
Beliau tidak menolak akan berlaku rombakan terhadap program yang
ditawarkan Insaniah jika tindakan itu memberi manfaat kepada Insaniah.
Insaniah kini mempunyai 6,000 pelajar dengan 1,500 daripadanya belajar
di kampus Kuala Ketil yang mula dibuka awal tahun ini, manakala
selebihnya masih berada di kampus lama di Mergong. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan