Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP terkejut dan mengutuk tindakan polis membuka kertas siasatan terhadap Penasihat Kebangsaan DAP, Dr Chen Man Hin atas dakwaan bersubahat untuk melakukan gangguan awam apabila beliau menggunakan terma ‘Malaysian Spring’ tanpa sebarang niat berbahaya dalam email peribadi lebih satu tahun lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya berkata, pihak polis mungkin tidak ada kerja lain selain menyiasat seorang doktor berusia 86 tahun yang juga bekas Ahli Parlimen mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah kononnya hendak berkomplot untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan seperti yang terjadi dalam ‘Arab Spring’.
Katanya, siasatan polis jelas satu tindakan bertujuan untuk memangsa dan memburukkan pemimpin DAP dan kalau benar sekalipun dakwaan berkenaan, kenapa baru sekarang dan sudah lebih setahun baru hendak siasat.
“Dengan menyoal Dr Chen Man Hin atas tuduhan tidak berasas ketika pemimpin Pro-BN dibenarkan membuat pembohongan yang menghasut dan Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah alat politik BN yang bukan sahaja mengamalkan ‘double standard’ malah memperlihatkan kebenciannya kepada majoriti rakyat yang memberi 51% undi kepada Pakatan Rakyat.
“Tindakan itu memang mengarut dan melucukan, bukan saja membazir sumber polis, tenaga kerja dan masa kerana sepatutnya polis boleh digunakan untuk menumpukan terhadap memerangi jenayah,” katanya.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempertikaikan tindakan sesuka hati Ketua Polis Negara terhadap pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat walaupun tidak ada pun laporan polis dibuat setahun lalu, sedangkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, yang membuat kenyataan perkauman terhadap masyarakat Cina dan mahu merampas hak dan harta mereka tidak diambil tindakan.
Menurutnya, Khalid sibuk bermain politik sehingga gagal menguruskan kadar jenayah yang semakin meningkat, termasuk saudara perempuan kepada Timbalan Perdana Menteri di Petaling Jaya dan saudara perempuan Khalid sendiri di Mantin menjadi mangsa jenayah pecah rumah.
Sehubungan itu, beliau berkata, DAP menuntut jawapan penuh daripada Ketua Polis Negara yang baru menerangkan di Parlimen mengenai kegagalan profesional beliau memberi tumpuan membasmi jenayah tetapi sibuk melawan Pakatan Rakyat dengan tuduhan tidak berasas.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan