Jumaat, 10 Mei 2013

Anak Muda Teruskan Perjuangan, Matikan ‘Bom Jangka' Perkauman Umno-BN

Wartawan Buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/anak%20muda%20bom%20jangka.jpgMARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berpesan kepada orang muda agar bersiap sedia menyambung perjuangan Islam dan matikan 'bom jangka' perkauman yang dihidupkan oleh Umno-BN selepas pilihanraya umum kali ke-13.

Katanya, Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam ini mesti didaulatkan bagi menegakkan keadilan untuk semua dan masalah perkauman tidak timbul jika rakyat perpegang dengan Islam sebenar.

Beliau berkata, selepas mengalami kemerosotan undi, BN timbulkan isu perkauman merupakan ‘bom’ jangka yang akan meletup sekiranya dibiarkan dan mesti dihalang dengan meghidupkan silaturrahim mengikut ajaran Islam.

Namun, kata beliau, yang menjadi masalah  perkauman tersebut kerana Umno tidak berpegang dengan ajaran Islam.

“Jika kita (PAS) biarkan Umno memimpin Malaysia lagi akan jadi ‘bom’ jangka. Bom jangka boleh meletup pada bila-bila masa sahaja. Kita kena ‘mati’ bom ini jangan bagi meletup.

“Masalah perkauman tidak timbul jika kita (umat Islam) berpegang dengan Islam. Yang timbul masalah perkauman ini sebab Umnolah, sebab Umno tidak ikut Islam. Umno tidak berpegang dengan Islam itu puncanya.

“Caranya kena hidupkan hubungan dengan cara Islam yang membawa Rahmat untuk sekalian Alam. Inilah mesej yang dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS),” ujarnya ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Kesyukuran PRU13, di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, pada Rabu 8 Mei.

[Lihat Video Part 1] [Lihat Video Part 2] [Lihat Video Part 3]

Katanya masalah perkauman timbul kerana Umno tidak berpegang dengan ajaran Islam dan sengaja meniupkan api perkauman seperti yang pernah berlaku di zaman jahiliyyah.

Menurutnya, orang Cina kini telah meninggalkan semangat perkauman Cina tetapi orang Umno masih mengajar orang Melayu Umno dengan perkauman.

“Selepas pilihan raya (PRU13), Umno meniupkan api perkauman dan api perkauman ini zaman jahiliyyah iaitu zaman yang dikutuk oleh Nabi SAW.

“Bila Nabi menegakkan Islam di Madinah, Nabi menyampaikan sabdanya, “Bukan dari kalangan kita orang yang kuat berpegang dengan Islam yang kuat berpegang dengan Assobiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang mati dengan Assobiyyah dan bukan dari kalangan kita orang yang berjuang di atas dasar Assobiyyah”.

“Assobiyyah itu, kamu tolong bangsa kamu, puak kamu walau pun berlaku zalim. Inilah semangat perkauman yang dikutuk oleh Nabi SAW. Oleh kerana, dia kaum lain dan puak lain walau pun dia betul tapi kita anggap dia salah. Ini suatu pendekatan yang salah,” tegasnya dihadapan 40,000 hadirin.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/anak%20muda%20bom%20jangka1.jpgBeliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Umnolah sebenarnya memperbodohkan kaum dan bangsa Melayu sendiri dengan harta benda dan 'adu domba'.

Oleh itu, katanya sudah tiba masa orang Melayu Islam khususnya orang-orang muda wajib menyingkirkan Umno dan kerajaan BN dari tampuk pemerintahan negeri dan negara.

Beliau menaruh harapan tinggi untuk melihat kemenangan Islam berlaku yang menjatuhkan kezaliman serta tertegaknya keadilan Islam.

“Kepada anak-anak muda saya hendak beri pesanan anak-anak muda ini. Bersiaplah untuk menyambung perjuangan ini. Kemenangan (Islam) bukan mesti masa saya…boleh jadi kemenangan bukan masa saya.

“Kamu yang muda-muda sambung perjuangan itu. Jika boleh kemenangan itu, saya juga hendak tengok kemenangan itu, hendak lihat kemenangan tetapi kita (manusia) tidak tahu berlaku masa kita atau tidak. Kita hendak Islam berdaulat, Islam Rahmat kepada seluruh Alam ini.

“Inilah harapan saya dan marilah sama-sama memanjatkan berdoa supaya Allah memberi kekuatan kepada kita. Memberi kemenangan yang diredhai, kemenangan yang baik dan kemenangan yang menegakkan Islam, menegakkan yang adil.

“Kita (PAS) mahu kemenangan yang menjatuhkan yang zalim dan menegakkan yang adil,” tegasnya

Hadir sama sebagai tetamu khas program tersebut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib yang menyertai PAS sebelum pilihan raya baru-baru ini.

Tiada ulasan: