Ketua Biro Publisiti MCA Selangor Datuk Yap Pian Hon meminta anggota MCA menghormati keputusan parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan kabinet.
  
"Pada perhimpunan agung tahunan 2011 dan 2012, anggota parti sebulat suara meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya prestasi MCA pada PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) lebih buruk daripada PRU12.
  
"Anggota parti perlu menerima keputusan ini dan tidak memandang ringan mengenainya. Kita perlu akui bahawa pemilih Cina telah meninggalkan MCA," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Sebelum ini, MCA mengumumkan parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi buruknya dalam PRU13 pada 5 Mei dengan hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi parlimen dan 11 daripada 90 kerusi negeri yang ditandinginya.
  
Yap berkata MCA perlu mengambil iktibar daripada pengalaman pahit yang ditempuhinya untuk terus melangkah ke hadapan.
  
Katanya segala yang dialami itu mungkin menjadi titik perubahan dalam senario politik MCA dan kini tibalah masanya bagi parti itu untuk bangun kembali bersama pemikiran baharu untuk memulakan langkah baharu dalam arena politik.- Bernama