KUALA LUMPUR, — Seorang pengguna jalan raya meninggal
dunia dan seorang lagi mengalami cedera parah selepas kenderaan yang
dinaiki mereka dihempap tiang yang terjatuh daripada kren projek
penyambungan LRT di jalan lapangan terbang Subang malam ini.
Menurut Balai Polis Kelana Jaya yang dihubungi oleh The Malaysian
Insider, mereka masih lagi mengumpulkan maklumat dan butiran kejadian
tersebut yang berlaku pada waktu genting ketika orang ramai bergegas
pulang ke rumah sekitar jam 7.30 petang.
Menurut seorang anggota polis yang bertugas, dua kereta hancur selepas tiang tersebut terjatuh.
Laluan lalu lintas telah dialihkan dari kawasan kejadian dan anggota serta pegawai-pegawai masih menyiasat kejadian tersebut.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan kesesakan terutama bagi pengguna yang menghala ke arah Lebuhraya Persekutuan.
Kejadian ini adalah yang terbaru selepas Februari lepas sebuah
jejambat berhampiran Taman Sains Selangor di Cyberjaya runtuh dan
bumbung stadium di Kuala Terengganu runtuh, yang mana merupakan salah
satu lagi insiden melibatkan projek awam di dalam negara.
Projek Penyambungan Jajaran (LEP) sistem aliran transit ringan (LRT)
merupakan salah satu projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA), dimana ia dibina untuk meningkatkan khidmat pengangkutan awam
dan dijangka mula beroperasi pada awal 2015.
LEP merupakan inisiatif kerajaan untuk menyambung laluan LRT sedia
ada meliputi laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang menjangkaui kawasan
perumahan dan komersil yang lebih luas di Lembah Klang.
Laluan Ampang sedang diperluaskan sejauh 17.7km meliputi kawasan termasuk Bandar Kinrara, Puchong dan Putra Heights.
Sementara laluan Kelana Jaya dipanjangkan sejauh 17km meliputi Lembah Subang, Subang Jaya dan USJ.
Kedua-dua laluan bertemu di stesen bersepadu di Putra Heights.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan