Khamis, 9 Ogos 2012

Kemarau di Kelantan, Perkasa bidas Nik Aziz

FREE MALAYSIA TODAY

Ibrahim Ali berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali seolah-olah enggan cuba mencari jalan penyelesaian alternatif terhadap masalah itu. 




PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) membidas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyalahkan cuaca kemarau sebagai punca masalah kekurangan bekalan air bersih di negeri itu.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Nik Aziz itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali seolah-olah enggan cuba mencari jalan penyelesaian alternatif terhadap masalah itu.

“Ada tempat yang kemarau tapi air tetap ada. Di Timur Tengah tiada hujan tapi air ada, bersih pula. Di Arab Saudi, air laut yg masin boleh di proses dan jadi air minuman hasil sains dan teknologi.

“Allah suruh hambaNya berusaha dan disusuli dengan doa. Semata-mata letak alasan atas kemarau adalah kerajaan yang tidak bertangungjawab, lepas tangan dan bijak retorik saja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebaliknya mendakwa, krisis bekalan air bersih di Kelantan berpunca daripada kegiatan sedut pasir tanpa kawalan serta kegiatan pembalakan haram di Ulu Kelantan.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan sengaja bermain sentimen emosi rakyat menggunakan derma awam membina Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer menelan kos RM1.8 bilion sedangkan kegiatan melombong emas secara haram dibiarkan begitu sahaja.

“Nasihat saya hentikan keliru dan tipu rakyat. Tumpukan menyelesaikan masalah rakyat terutama air. Jika tidak letak jawatan saja,” katanya.

Nik Aziz semalam dilaporkan meminta rakyat Kelantan berdoa diberikan hujan bagi mengatasi masalah bekalan air yang terputus sejak minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai pelan mengatasi masalah tersebut, beliau berkata sains dan teknologi tidak akan dapat mengatasi masalah kemarau kecuali dengan berdoa kepada Allah,” katanya.

Tiada ulasan: