Sabtu, 18 Ogos 2012

Guna anggota menyamar antara langkah penguatkuasaan JPJ musim perayaan

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA BHARU —Seramai 1,806 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditugaskan mengawal keselamatan jalan raya di bawah Op Selamat pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan (gambar) berkata pihaknya juga menempatkan anggota yang menyamar sebagai orang awam, terutama dalam bas ekspres dan kawasan tumpuan orang ramai, untuk mengambil tindakan terhadap pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Langkah itu bagi menjaga keselamatan pemandu dan kepentingan penumpang ketika musim perayaan ini,” katanya kepada pemberita di stesen bas ekspres Lembah Sireh di sini, hari ini.

Solah berkata JPJ juga menguatkuasakan peraturan melarang kenderaan berat berada di jalan raya dalam tempoh dua hari bermula hari ini dan esok serta 25 dan 26 Ogos, iaitu waktu puncak orang ramai dan kenderaan berada di jalan raya.

“Pengecualian hanya diberi kepada kenderaan yang membawa barangan perlu seperti ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas lain,” katanya.

Solah berkata sejak Op Selamat dimulakan Ahad lepas, sebanyak 21,344 kenderaan diperiksa dengan 3,144 pemandu dikenakan tindakan saman dan 14 kenderaan disita kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan utama ialah memotong giliran, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas, menggunakan telefon bimbit dan menggunakan lorong kecemasan,” katanya.

Selain itu, katanya 556 kes dikesan di bawah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres.

Beliau berkata kebanyakan kes yang dikesan di kalangan pemandu kenderaan terutama pada musim perayaan ini ialah mereka memandu tanpa mempunyai lessen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Sepatutnya mereka boleh membuat persiapan melengkapkan segala peraturan itu lebih awal bagi mengelakkan daripada diambil tindakan pihak berkuasa pada musim perayaan ini bagi mengelakkan kesulitan dialami,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, JPJ memberi tumpuan penguatkuasaan terhadap 89 kawasan berisiko tinggi kemalangan jalan raya di seluruh negara termasuk lapan di Kelantan, serta membuat pemeriksaan di 32 terminal bas bagi memastikan pengusaha bas ekspres mematuhi peraturan.

Antara kawasan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya di Kelantan ialah di Km 12 dan Km 30 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis; Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Puteh-Kota Baharu di Kampung Peringat dan Kampung Padang Kala; Jalan Grik-Jeli di Km 128; km 50 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu; dan Bukit Baka, Machang. — Bernama

Tiada ulasan: