Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, isu penempatan penuntut-penuntut Unisel itu selesai selepas Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) melalui peguamnya bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi pejabat Residen Komuniti Siswa itu bermula Khamis depan.
“Unisel melalui peguam cara memfailkan satu tindakan mahkamah semalam (kelmarin) untuk memohon satu perintah bagi membuka semula dan melaksanakan operasi pejabat Residen Komuniti Siswa dan selanjutnya atau menyerahkan kunci-kunci asrama tersebut kepada Unisel.
“Keputusan tersebut dicapai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Zabariah Mohd Yusof semalam selepas Unisel membuat permohonan pendengaran,” katanya pada sidang media di Unisel, semalam.
Keputusan itu sekaligus membuatkan penuntut-penuntut kini boleh menarik nafas lega kerana dapat memasuki asrama berkenaan selepas Hari Raya Aidifiltri.
Anuar berkata, jumlah keseluruhan pelajar baru mendaftar pada 7 Ogos lalu adalah sebanyak 6,000 tetapi hanya 4,000 yang tinggal di asrama.
Bagaimanapun, 1,600 penuntut menghadapi masalah berkenaan selepas pengurusan asrama diselia syarikat swasta itu didakwa gagal membayar gaji kepada kakitangannya untuk tempoh 15 bulan selepas tidak menerima bayaran yuran penyelenggaraan daripada Unisel.
“Apa yang penting dan keutamaan kita adalah pelajar-pelajar berkenaan dan mereka kini dapat memasuki asrama bermula 23 Ogos ini,” katanya.
Anuar berkata, bagaimanapun, keputusan tersebut sama sekali tidak menjejaskan mesyuarat Jawatankuasa Timbang Tara yang akan diadakan nanti.
Menurutnya, peguam masing-masing akan berbincang semuka berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan sama, peguam mewakili Unisel, Edmund Bon berkata, Unisel mempunyai alasan mengapa tidak membuat bayaran kepada JNSB.
“Ada sebab kenapa JNSB tidak dibayar. Mereka kata patut dibayar. Tetapi kita ada alasan sama ada JNSB ikut kontrak atau tidak.
“Masalah ini sudah lama sebenarnya dan selepas 23 Ogos kita akan bincang lebih lanjut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan