Mohd Nor Yahya, |
PASIR MAS: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini bekerja keras bagi mengatasi masalah kesurutan air yang begitu ketara di Loji Rawatan Air (LRA) kesan kemarau yang berlaku sekarang.
Keadaan itu menyebabkan pengguna di Pasir Mas dan Tumpat mengalami gangguan bekalan air kebelakangan ini.
Pengurus Teknikal AKSB, Iskandar Abdul Rahman berkata, kebiasaannya LRA Kelar boleh menampung 60 MLD sehari, namun sekarang hanya 45 MLD sahaja disebabkan penurunan paras air.
“AKSB telah berusaha mengambil beberapa tindakan segera termasuk merendahkan muka sauk dan membina telaga tiub.
“Insya-Allah apabila siap nanti telaga tiub, pengeluaran air akan meningkat semula ke tahap 60 MLD sehari,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di LRA Kelar dekat sini hari ini.
Sebelum ini orang ramai merungut masalah tekanan air begitu rendah di Pasir Mas dan Tumpat sehingga ramai menyalahkan AKSB kerana tidak bertindak segera menanganinya.
Iskandar berkata, AKSB sudah berusaha menyelesaikan masalah tersebut dan tentunya ia mengambil sedikit masa untuk diatasi sepenuhnya.
Malah AKSB juga menyalurkan bekalan air mentah melalui tangki-tangki bergerak ke kawasan-kawasan yang dianggap kritikal.
“Kemarau yang berlaku sekarang belum pernah terjadi dalam masa 25 tahun sehingga menyebabkan berlakunya pengurangan air yang begitu mendadak,” ujarnya.
LRA Kelar dibina pada 2003 dan mula beroperasi dua tahun kemudian merupakan punca utama bekalan air bersih di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.
Menurutnya juga AKSB membelanja RM300,000 bagi mengubah rekabentuk operasi pam air bersih dan memasang tiga pam dalam sungai bagi pemindahan air ke muka sauk.
“Insya-Allah pelbagai usaha dijalankan AKSB akan dapat menyelesaikan masalah tekanan rendah tidak lama lagi,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan