Secara umum,universiti merupakan sebuah institusi pengajian tinggi untuk menimba ilmu. Universiti wujud sejak berkurun masa yang lampau, Universiti Al-Azhar (970 SM) dikenalpasti antara universiti terawal yang diwujudkan. Kemudiannya diikuti oleh penubuhan universiti-universiti yang ternama seperti Bologna, Oxford dan Cambridge. Universiti Malaya merupakan universiti tertua yang wujud di Malaysia diikuti dengan kewujudan pelbagai IPTA mahupun IPTS yang berkembang pesat dari semasa ke semasa. Namun dalam keghairahan kewujudan universiti tersebut sudah tiba masanya untuk kita melihat kembali apakah fungsi, peranan dan tanggungjawab sebenar kewujudan sesebuah universiti.
Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung (Saifuddin Abdullah). Adakah universiti semata-mata menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa? Ataupun sudah cukup memadai dengan hanya berlumba-lumba mendapatkan ranking yang baik saban tahun. Hakikat yang perlu disedari bahawa universiti juga mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dalam bersama-sama membina negara Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
Tetapi hasrat murni tersebut tidak mungkin mampu direalisasikan selagi universiti tempatan terus dicengkam oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Universiti sewajarnya menjadi sebuah institusi yang bebas daripada segala keterikatan dan campur tangan politik. Universiti mesti diberikan kuasa autonomi dan ditadbir urus dengan penuh ketelusan mengikut acuan sendiri. Institusi ini mesti tampil sebagai penyelesai kepada permasalahan masyarakat, pencetus idea baru dan menjadi rujukan utama dalam segala keperihalan berkaitan masyarakat bersesuaian dengan pengiktirafan masyarakat umum yang memandang universiti sebagai sebuah institusi sosial yang terulung.
Universiti perlu memikirkan apakah sumbangan mereka kepada seluruh masyarakat dan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Tembok di antara universiti dan masyarakat perlu dipecahkan di mana mahasiswa dan tenaga akademik berperanan menguasai keilmuan di universiti dan kemudiannya mengekstrak keilmuan tersebut dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat umum, supaya masyarakat menjadi lebih celik dan tidak ketinggalan mendepani cabaran semasa. Sudah tiba masanya peranan dan tanggungjawab universiti tempatan dilihat kembali agar institusi ini terus relevan sebagai institusi perkembangan keilmuan ke arah pembinaan peradaban manusia pada masa hadapan.
*Kenyataan media oleh Muhamad Fazli Bin Abdul Halim selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang.
Sabtu, 7 Januari 2012
Sudah tiba masanya kuasa autonomi universiti dikembalikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan