Ahad, 1 Januari 2012

Skandal zakat: Jawapan Jamil Khir bercanggah

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau seharusnya tahu bahawa pemulangan semula wang tersebut tidak menjadikan tindakan awal menggunakan wang zakat itu tindakan yang betul, tegas Nik Nazmi.





PETALING JAYA: Setelah seminggu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum berdiam diri tentang kontroversi penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 maka akhirnya beliau tampil memberikan jawapan.

Menurut beliau, bayaran kos guaman beliau bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain bagi menghadapi kes qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peruntukan kerajaan, bukannya wang zakat.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Jamil Khir masih tidak menjawab percanggahan jawapannya dan Majlis Agama

Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) semalam dengan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Peguam Zainul Rijal Talha dan Amir dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Menurut Nik Nazmi, pada 21 Jun 2011, Dr Mashitah (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

“Saifuddin sendiri telah menunjukkan baucer bayaran yang secara terang menulis bahawa pembayaran dibuat menggunakan wang zakat,” kata beliau yang juga ahli dewan undangan negeri Seri Setia.

Katanya, pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

PKR lapor polis

Katanya lagi, pada 21 November 2011, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

“Ini memandangkan geran kerajaan tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut,” jelas Nik Nazmi.

Nik Nazmi menegaskan bahawa sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

“Jamil seharusnya tahu bahawa pemulangan semula wang tersebut tidak menjadikan tindakan awal menggunakan wang zakat itu tindakan yang betul sama ada daripada segi hukum syara’ mahupun prosedur perbendaharaan kerajaan.

“Lainlah sekiranya Jamil Khir menganggap dirinya salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Sekiranya Jamil Khir beranggapan demikian, tidak perlulah dipulang semula wang tersebut menggunakan geran kerajaan,” katanya dengan sinis.

Menurut beliau, memandangkan jawapan Jamil Khir setakat ini masih tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan. PKR tetap akan membuat laporan polis pada minggu hadapan.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Harun Taib menegaskan sebarang penggunaan wang zakat tanpa mematuhi syarat asnaf (golongan yang layak menerima zakat) adalah melanggari ketetapan Allah SWT.

“Kalau hendak membelanjakan wang zakat, sudah ada asnaf-asnaf tertentu yang layak. Tidak boleh dibelanjakan sebarangan,” kata beliau seperti mana dilapor pada muka hadapan akhbar Harakah keluaran terbaru.

Tiada ulasan: