Isnin, 2 Januari 2012

Selangor tuntut Raja Petra kemuka bukti rasuah

MALAYSIA KINI

Kerajaan Selangor menuntut penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin mengemukakan butiran terperinci berhubung dakwaan berlakunya amalan rasuah di negeri itu melibatkan "usahawan Cina".

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, ini kerana dakwaan berlakunya pemberian "duit kopi" untuk mendapatkan projek merupakan tuduhan yang serius.

"Kami menuntut RPK (Raja Petra) untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada kerajaan negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, pegawai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu berkata, kerajaan selangor juga bersedia membayar kos perjalanan Raja Petra pulang ke tanah air untuk mendapatkan maklumat itu.

Katanya, ia sebahagian daripada peruntukkan RM15 juta yang diluluskan dalam belanjawan negeri lalu bagi tujuan membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Sesungguhnya inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor.

"RPK (Raja Petra) tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban," katanya.

Tiada ulasan: