Isnin, 23 Januari 2012

SBPA : CEUPACS Sambut Baik Tempoh Tiga Bulan Semakan

Post Pic



KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan keputusan yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan tempoh tiga bulan bagi semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai langkah adil kepada penjawat awam.

Menurut Presidennya, Datuk Omar Osman, langkah itu dilihat sinonim dengan kebimbangan sekitar 1.3 juta penjawat awam terutama kakitangan Gred 54 ke bawah dan Kumpulan Pelaksana Satu dan Dua yang tidak berpuas hati terhadap SBPA sedia ada.
“Ketika ini skim itu dilihat seolah-olah berat sebelah, tidak adil dan mempunyai jurang besar daripada segi keistimewaan pekerja kelas atasan dan bawahan. Justeru, kita menyambut baik keputusan Perdana Menteri supaya SBPA diperbaiki dengan mengambil kira cadangan dan suara hati penjawat awam semua peringkat bagi memastikan nasib kami lebih terbela.

“Pada masa sama, kita mahu keistimewaan diterima kumpulan atasan disemak semula menentukan sama ada benar-benar layak diterima atau sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab dan bebanan tugasan masing-masing,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Najib supaya pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang akan memuaskan hati setiap penjawat awam semua peringkat.

Menurut Omar lagi, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam di seluruh negara pada Februari ini untuk membincangkan semakan semula SBPA.

Tiada ulasan: