Sabtu, 7 Januari 2012

‘Saya akan hapuskan diskriminasi kaum jika jadi PM’ kata Anwar

MALAYSIA CHRONICLE


PETALING JAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menghapuskan diskriminasi “kaum” sekiranya dilantik menjadi perdana menteri selain mengesahkan Pakatan Rakyat akan mengangkat hak semua bangsa.

Ketua Umum PKR itu berkata pentadbiran Pakatan Rakyat akan menghapuskan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tidak akan membebankan rakyat yang mekanisme sedemikian.

“Kami akan menolong dan membantu semua bangsa, itu adalah perbezaan kami dengan Umno,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 orang dalam satu ceramah di Subang Jaya malam tadi.

Anwar (gambar) mengatakan menurut ajaran Islam, umatnya tidak dibenarkan untuk menghina atau membuli penganut agama lain dan ia bertentangan dengan norma budaya Melayu.

Beliau menceritakan pengalaman lalu ketika seorang pelajar Cina (yang dinamakan Anwar sebagai Sui Lin) datang menemuinya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian berikutan keluarganya tidak mampu membiayai yuran pengajian.

“Ini adalah pendiran saya. Insya-Allah apabila saya ke Putrajaya saya akan pastikan Sui Lin dijaga seperti anak saya sendiri.

“Ini adalah suara hati, kami memerlukan suara hati ini,” tambah Anwar.

Pemimpin berumur 64 tahun ini mendakwa Barisan Nasional (BN) gagal mentadbir negara dengan baik sehingga menyebabkan gejala rasuah berleluasa.

“Masalahnya sistem kita telah rosak,” kata Anwar, merujuk kepada skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya.

Beberapa pemimpin Umno secara terbuka meminta Shahrizat meletakkan jawatan ekoran skandal yang melibatkan keluarganya selepas Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan yang berlaku selepas mendapat dana awam berjumlah RM250 juta.

Shahrizat, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bekas ahli Parlimen Lembah Pantai berkata dirinya tidak mempunyai kaitan dengan NFC.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah menafikan Shahrizat menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Campak pencuri lembu ini ke dalam laut. Ini adalah negara kita.

“Kita tidak akan benarkan penyelewengan berlaku lagi,” tambah Anwar.-Themalaysianinsider

Tiada ulasan: