Sabtu, 14 Januari 2012

Pulihkan institusi awam untuk selamatkan negara kita

Oleh Tunku Abdul Aziz


Terlebih dahulu, saya ingin bermula dengan merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Persekutuan Malaysia. Semoga pemerintahan Seri Paduka di atas singgahsana Istana Negara akan menyemarakkan semangat demokrasi dan hak asasi di kalangan rakyat jelata. Daulat Tuanku!

Mengimbas sejarah

Perlantikan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua ini telah mengimbas kembali kenangan sejarah negara kita. Tuanku telah menaiki takhta buat julung kali pada tahun 1970. Pada tahun itu, negara kita masih lagi dalam proses pemulihan akibat rusuhan tahun sebelumnya. Parlimen telah digantung dan hubungan antara kaum berada dalam keadaan retak dan tegang.

Namun demikian, pemerintahan Seri Paduka telah menyaksikan pemulihan sistem Parlimen serta normalisasi hubungan kaum. Dalam lima tahun pemerintahannya, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa dan liku-liku yang penting seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, penjalinan hubungan rasmi dengan negara China dan penyertaan PAS dalam Kerajaan Persekutuan melalui Barisan Nasional.

Kali ini pula, Seri Paduka sekali lagi menaiki takhta dalam keadaan negara berada di persimpangan jalan. Sejak tahun 2008 rakyat Malaysia sudah mula menyuarakan rintihan mereka. Pada 9 Julai tahun lepas, rakyat telah bangkit dengan aman untuk mencabar kerajaan yang tamak kuasa dan rasuah.

Suasana di dunia antarabangsa juga tidak tenteram. Kuasa-kuasa barat sedang menyusut manakala China dan India makin menonjolkan diri. Diharap Malaysia akan sekali lagi mengambil tindakan yang wajar untuk menjalinkan hubungan rapat dengan kedua-dua negara yang bakal menjadi ekonomi paling besar dunia dalam masa yang terdekat.

Saya juga harap PAS akan sekali lagi menyertai Kerajaan Persekutuan, cuma kali ini bukan dengan Barisan Nasional tetapi bersama parti DAP dan PKR dalam Kerajaan Pakatan Rakyat!

Kepercayaan awam terhakis

Saudara-saudari sekalian,

Pada hari ini, tanahair kita perlu diselamatkan daripada gejala rasuah, korupsi dan penyelewengan amanah awam. Sebagai seorang pengasas Transparency International di Malaysia, saya ingin menyentuh tentang Indeks Persepsi Rasuah ataupun CPI yang baru-baru dikeluarkan oleh Transparency International.

Malaysia telah mencatat prestasi terburuk selama 20 tahun, dan kadar CPI kita telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3. Dalam skala 1 hingga 10, 10 adalah yang terbaik. Ini jelas menunjukkan kegagalan usaha Kerajaan Pusat untuk membasmi gejala rasuah.

Yang lebih mencemaskan, kaji selidik umum telah menunjukkan bahawa rakyat kebanyakan melihat pihak polis dan parti-parti politik sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara kita. Bagaimanakah sesebuah negara itu boleh berfungsi jika rakyatnya tidak mempunyai kepercayaan terhadap institusi-institusi yang sepatutnya melindungi dan menjaga mereka?

Perdana Menteri telah mengumumkan Program Transformasi Kerajaan yang menjanjikan program khusus untuk menangani rasuah. Namun demikian, ahli-ahli Kabinet beliau sendiri nampaknya tidak terbaca memo tersebut, apabila kita ada sekarang seorang menteri yang terlibat dalam skandal yang membabitkan RM250 juta, iaitu skandal projek penternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan.

Saya tidak ingin bercakap panjang tentang isu ini kerana saya tahu saudara-saudari sekalian sudah mengetahui lebih tentangnya. Saya cuma ingin menyatakan bahawa inilah contoh Kerajaan BN yang selalu cakap tak serupa bikin. Di mana-mana negara lain, menteri tersebut bukan sahaja akan dipaksa untuk berhenti, beliau juga akan ditangkap dan didakwa atas sebab pecah amanah. Tetapi di Malaysia, kerana menteri itu hanya “isteri” kepada pengerusi syarikat, beliau tidak ada kena mengena dengannya.

Kes projek lembu ini adalah satu contoh jelas bahawa institusi-institusi negara kita tidak mempunyai sekatan dan imbangan ataupun “checks and balances” untuk memastikan karenah seperti ini tidak boleh berlaku. Bagaimanakah boleh wang berjumlah RM250 juta diberi kepada sebuah syarikat yang berkaitan langsung dengan keluarga menteri? Inilah soalan pokok yang perlu ditanya.

Perkhidmatan awam tonggak negara

Saudara-saudari sekalian,

Institusi-institusi awam sememangnya menjadi tonggak kepada negara. Seperti yang kita sedia maklum, kepercayaan kepada institusi-instusi awam di negara kita sudah pun terhakis. Oleh yang demikian, salah satu kewajipan Pakatan Rakyat adalah untuk memulihkan institusi-institusi awam, bermula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malasysia, Polis, Badan Kehakiman dan lain-lain lagi.

Institusi-institusi awam negara kita pernah pada suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan ramai, bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. Badan kehakiman kita, perkhidmatan awam kita, semuanya dihormati negara-negara lain, terutamanya dalam Komanwel. Namun demikian, ceritanya sudah berbeza sekarang. Kerana itu, kita harus membuat sesuatu untuk mengembalikan profesionalisme dan kecekapan penjawat-penjawat awam kita.

Kita harus meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka. Kita juga harus memastikan bahawa gaji penjawat awam adalah mencukupi dan berdaya saing, terutamanya mereka yang berada dalam jurusan sokongan dan pentadbiran dan bukan hanya pegawai-pegawai profesional dan pengurusan atas.

Perkhidmatan awam perlu diperhalusi dan dihormati dan bukannya dikurangkan. Saya berharap kita boleh memulihkan perkhidmatan awam supaya ia akan lebih mencerminkan kemajmukan rakyat, bebas daripada politik dan bersikap neutral, serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Inilah cabaran yang amat penting kepada Pakatan Rakyat. Pembangunan zahir dan batin negara kita bergantung kepada pembangunan institusi-institusi awam. Jika rosak institusi-institusi tersebut, maka rosaklah masa depan negara kita.

Kerajaan BN tidak berminat untuk melakukan reformasi institusi. Sebaliknya, mereka sedang mengambil kesempatan ke atas kelemahan-kelemahan yang sedia ada. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai Kerajaan yang akan datang untuk memulihkan institusi-institusi awam demi menyelamatkan negara kita.

Marilah kita sama-sama bersihkan Malaysia! – Roketkini.com

* Ucapan Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari 2012

Tiada ulasan: