KUALA LUMPUR — Pertubuhan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) hari ini memberi amaran kepada penganjur perhimpunan 901 supaya tidak membuat kekecohan di kawasan Masjid Wilayah Kuala Lumpur di Jalan Duta ketika perhimpunan pada 9 Januari ini.
Menurut Ahli Majlis Tertingginya, Mohd Syahril Abdul Aziz, Pekida akan menganjurkan program dakwah dan Qiamullail pada hari yang sama perhimpunan tersebut dijalankan.
“Sekiranya kumpulan Anwar buat onar, Pekida Malaysia akan ambil tindakan, jangan melampaui apa yang telah dirancang.
“Pekida ada program dakwah, dan qiamullail di Masjid Wilayah, jadi jangan buat kacau, masjid tempat untuk orang berdakwah dan beribadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Menurut Syahril, berikutan cadangan perhimpunan yang dianjurkan untuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya turut dipanggil oleh pihak polis untuk memberi penjelasan berhubung program tersebut.
“Kami telah merancang program ini terlebih dahulu. Program ini bermula pada petang 8 Januari, dan tamat pada 9 Januari keesokan harinya.
“Kepada penyokong Anwar Ibrahim, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang turut hadir memberi penjelasan di ibu pejabat polis tersebut turut yakin polis akan bertindak bijak menangani perkara itu.
Abdul Rahman menjelaskan, dijangka seramai 2000 peserta daripada kalangan NGO tersebut akan menghadiri program itu.
“Saya yakin polis akan bertindak tegas, dan perhimpunan akan dapat dikawal sebaik mungkin,.
“Saya memberi jaminan ahli Perkasa tidak akan melakukan sebarang provokasi, kami akan hanya berada di kawasan masjid untuk program tersebut sahaja,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan