Jumaat, 27 Januari 2012

Pakatan sasar tawan Johor pada PRU 13


KUALA LUMPUR– Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan untuk menawan Johor- kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13, selepas pakatan berkenaan berjaya menawan empat negeri pada pilihan raya 2008.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (gambar), dipetik Sinar Online berkata, adalah tidak mustahil untuk merampas negeri tersebut kerana beliau yakin rakyat Johor telah mula ingin melihat suasana politik baru di negeri itu.

“Jika Johor berjaya dirampas, ini merupakan permulaan yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) menyusun langkah bagi menawan Putrajaya tetapi perkara ini tidak mungkin berlaku jika Sabah dan Sarawak tidak berada dalam genggaman.

“Dalam usaha untuk menawan Johor, kami juga akan berusaha untuk mempertahankan Selangor dan dalam masa yang sama kami akan memperluaskan pengaruh ke daerah-daerah yang telah ditakluki,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak ini juga turut menjelaskan kenyataan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Pengerusi BN Selangor yang meminta kepimpinan BN Selangor untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun.

“Jelas kenyataan itu menunjukkan Najib menggalakkan ahlinya menghalalkan apa sahaja cara sekalipun termasuk rasuah, mengugut ataupun merampas demi mencapai matlamat yang ingin dicapai.

“Jika beliau (Najib) merupakan kelompok yang sederhana, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana boleh membimbangkan rakyat,” kata Pengerusi PKR Selangor ini.

Menurut Azmin, Najib sebagai seorang pemimpin yang demokrat sewajarnya menghormati keputusan rakyat Selangor yang telah memilih PR sebagai peneraju baru negeri itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyuarakan kebimbangan terhadap perkara itu, kerana merasakan apa yang berlaku hanyalah sekadar retorik politik semata-mata.

Katanya, maklum balas yang diterima oleh rakyat Selangor terhadap kepimpinan PR adalah sangat positif terutamanya kini rakyat Selangor dapat merasai hasil dari khazanah negeri itu.

Pilihan raya Umum ke-12 lalu, Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR menawan Kedah, Pulau Pinang dan Perak, selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.

Azmin melahirkan keyakinan itu ketika negara bersiap sedia untuk mengadakan PRU13, yang ramai menjangkakan akan diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

Tiada ulasan: