KUALA LUMPUR- Jingga 13 sekali lagi mencabar Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dan pengarah eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh untuk tampil mendedahkan kesemua perbelanjaan kad kredit sejumlah RM593,500 oleh ahli keluarganya termasuk dakwaan beliau sendiri yang menggunakan RM122,402 pada tahun 2009.
“Pendedahan ini memberikan peluang kepada rakyat meneliti setiap sen berbelanjaan penggunaan kad kredit NFC,” kata ketua koordinatornya, Fariz Musa kepada Harakahdaily.
Katanya, seperti mana laporan polis yg dibuat oleh Jingga 13 agar siasatan secara terperinci terhadap penggunaan kad kredit oleh ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dibayar menggunakan wang rakyat melalui NFC yang sewajibnya melaksanakan projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan agar benar-benar tidak diseleweng atau berlaku pecah amanah jenayah.
Menurutnya, andai benar digunakan ke Australia atau untuk aktiviti syarikat, Jingga 13 desak NFC buktikan kerana tiada penjelasan terhadap pembayaran kad kredit mereka oleh NFC yang menimbulkan pelbagai persoalan seperti mana tercatat dalam akaun NFC di CIMB Bank TTDI.
Contohnya, kata beliau pada tarikh 22 Januari 2009 sejumlah RM104,104.44 dibayar oleh NFC atas nama Izzana Salleh, Izran Salleh dan Datuk Salleh melalui kad kredit Maybank.
“Untuk perbelanjaan apa sehingga RM104,104.44 dibayar dengan menggunakan kad kredit dalam tempoh sebulan?” soalnya.
Katanya lagi, Jingga 13 yakin bahawa setiap penggunaan kad kredit terdapat rekod secara terperinci di bank dan di unit kewangan /akaun NFC yang boleh dibuktikan segala perbelanjaan penggunaan kad kredit sejumlah RM593,500 pada tahun 2009 sahaja oleh ahli keluarga Shahrizat termasuk perbelanjaan ke Australia untuk promosi.
Justeru, katanya tidak perlu dilengah-lengahkan lagi oleh kesemua ahli keluarga Sharizat untuk mendedahkan keseluruhan penggunaan RM593,500 tersebut bagi menghentikan segala spekulasi dan persepsi khususnya skandal NFC yang semakin memuncak.
“Jingga 13 yakin pendedahan tersebut akan menjelaskan pelbagai persoalan terhadap penggunaan kad kredit tersebut dan adakah benar digunakan untuk aktiviti syarikat dan bukan untuk kepentingan peribadi atau berpoya-poya oleh ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil,” ujarnya.
Beliau menambah, Jingga 13 tidak menerima penjelasan tanpa dibuktikan dengan segala dokumen daripada Maybank dan CIMB Bank di mana kad kredit itu digunakan termasuk sokongan daripada dokumen syarikat berdasarkan tatakelola kewangan perniagaan kerana difahamkan bahawa ianya digunakan untuk perniagaan NFC.
Menurutnya, sudah pasti segala rekod dan dokumen terhadap segala perbelanjaan disimpan dan tidak mempunyai kesukaran untuk mendedahkannya kepada umum termasuk penyata oleh pihak Maybank dan CIMB Bank.
“Sebagai rakyat Malaysia maka adalah menjadi tanggungjawab dan berhak mempersoalkan setiap sen wang rakyat yang digunakan agar tidak wujud sebarang penyelewengan dan pecah amanah jenayah. Ibrahim Ali dan Perkasa tidak perlu campurtangan dan menjadi jurucakap kepada NFC,” katanya lagi.
Tambahnya, Jingga 13 meminta agar pihak polis bertindak adil dan profesional dalam mesyiasat secara terperinci penggunaan kad kredit ahli keluarga Seri Shahrizat tanpa dwi-standard.
Katanya, wang rakyat RM250 juta adalah amanah rakyat bagi memastikan projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan benar-benar berjaya dan bukannya diseleweng dan berlaku pecah amanah jenayah. -Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan