SHAH ALAM: Adun Sijangkang Ahmad Yunus Hairi yang disahkan sebagaikan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor hari ini mengangkat sumpah menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat dari pimpinan PAS dan kerajaan negeri.
Majlis pelantikan dan angkat sumpah Ahmad Yunus diadakan di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan di sini pagi ini.
Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Ahmad Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.
Manakala Khalid Ibrahim akan mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas.
Tambah beliau, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti Hasan Ali akan memegang jawatan Pengerusi Skimsel.
Selain Khalid, majlis tersebut turut disaksikan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor Teng Chang Khim, Exco Kanan Teresa Kok dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.
Perlantikan Ahmad Yunus dicadangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Menteri Besar Selangor berdasarkan kouta kerusi exco itu adalah milik PAS.
Pada pilihan raya umum 2008, Ahmad Yunus mengalahkan calon Barisan Nasional yang juga bekas Exco Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar dengan majoriti 2,081 undi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan