Oleh Badruddin Maidin
Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukan parti populis murahan yang mahukan kuasa dengan apa cara sekali pun. Rekod perjuangan DAP menunjukkan oportunisme bukan apa yang DAP utamakan.
Kesabaran dalam kepedihan kerana dikutuk, dihina, ditangkap, dipenjarakan adalah asam garam yang membentuk DAP hari ini sejak ditubuhkan 45 tahun yang lalu.
Walau dibenci lawan atau pun kadangkala dicurigai kawan, adalah perkara biasa buat DAP yang sejak penubuhannya secara rasmi pada 18 Mac 1966, komited dengan berjuang untuk mewujudkan bangsa Malaysia atau Malaysian nation.
Perjuangan DAP untuk semua rakyat
Ini kerana perjuangan DAP jelas: Malaysia untuk rakyat Malaysia. Bukan untuk sesuatu kaum tertentu sahaja.
Walau pun menolak politik perkauman, DAP meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Yang Melayu tetap Melayu, yang Cina tetap Cina, yang India tetap India, yang Kadazandusun tetap Kadazandusun, yang Iban tetap Iban; tetapi kesemuanya hidup di tanah air ini sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak dan peluang saksama.
Falsafah DAP bukanlah seperti sesetengah parti yang mana falsafahnya kabur dan tidak jelas kecuali berkaitan perjuangan untuk satu kelompok kaum sahaja.
Politik kaum yang membesar menjadi perkauman adalah hasil dari didikan pemerintah selama 54 tahun yang secara langsung menghasilkan minda rakyat Malaysia yang lebih banyak berfikir menurut garis perkauman.
Amalan pemerintah mengikut garis perkauman ini menyebabkan kemajuan dan pembangunan menjadi tidak sekata dan tempang.
Ekonomi adalah berkaitan perasaan manusia. Perasaan manusia atau rakyat berkait rapat dengan faktor budaya, dan kemasyarakatan serta kepersaudaraan. Persefahaman berdasarkan faktor itulah tunjang utama yang sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi matang dan maju.
Bukan sekadar membaling duit ke muka rakyat Malaysia setiap kali hampir pilihan raya. Itu, kurang sopan namanya.
Asas menuju ke arah Malaysia untuk rakyat Malaysia bergantung kepada kebebasan dan keadilan, kesamarataan, dan perpaduan; semuanya ini tersemat dalam konteks demokrasi moden.
Demokrasi moden bukan sekadar suara majoriti tetapi memerlukan asas-asas kebebasan, keadilan, hak dan peluang saksama serta ciri-ciri menjamin hak setiap individu dan masyarakat.
Kebebasan dan keadilan
Wujudkah kebebasan dan keadilan di Malaysia jika kerajaan sendiri tidak menghormati rakyatnya berhimpun secara aman untuk meluahkan perasaan?
Jawapannya sama sekali tidak. UMNO dan BN jarang sekali menyebut secara spesifik mengenai kebebasan, apa lagi keadilan untuk rakyat.
Sebaliknya, sebagai contoh, dalam pembentangan Bajet 2012, kerajaan BN telah memperuntukkan RM200 juta untuk memodenkan pasukan polis, dengan teknologi moden serta kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih.
Memang baik jika pasukan polis benar-benar menjaga keselamatan rakyat daripada diganggu dan diserang oleh penjenayah. Tetapi di Malaysia, umum sedar bahawa kecanggihan polis lebih kerap digunakan untuk menghalang rakyat daripada menyuarakan hak.
‘Moden’ bagi pendtabiran Najib adalah mungkin peralatan canggih-manggih, berteknologi tinggi. Bukan moden yang bemaksud insan yang berfikiran rasional.
Tiada usaha dari kerajaan untuk merangka kemodenan fikiran rakyat. Yang ada hanya mewujudkan pelbagai ‘teknologi moden’ sedangkan moden bermula dari dalam diri, bukan dengan melalui kontrak membangunkan bangunan ultra canggih.
Apa guna bangunan canggih jika dalam masa sama, rakyat dihalang dari berfikir di luar kotak? Apa guna undang-undang yang zalim dimansuhkan tetapi digantikan dengan yang mungkin lebih kejam lagi?
DAP selama ini berpegang teguh dengan idea kesamarataan ini di mana peluang saksama kepada rakyat Malaysia dapat diberikan kepada semua mengikut kebolehan dan merit, bukan berdasarkan birokrasi, duit kopi atau hubungan rapat dengan pemerintah.
Peluang saksama bererti setiap rakyat mempunyai hak dan peluang yang ditawarkan, ia tidak bermakna hasilnya mesti sama rata. Tentunya pendapatan atau gaji seorang doktor tidak sama dengan kerani; tetapi kedua-duanya wajib mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan masing-masing jika ada kekosong.
Golongan muda
Golongan muda semakin kritikal pemikirannya. Janji-janji lapuk BN dipandang mereka sebagai ‘janji orang tua’ sahaja. Tembok perkauman walau pun belum pecah sama sekali seperti runtuhnya tembok Berlin yang menandakan kehancuran sistem kuku besi, sedang menuju ke arah yang sama.
Melalui borak-borak santai bersama golongan muda di warung-warung, menunjukkan keyakinan mereka tentang prinsip-prinsip perjuangan yang dibenci oleh UMNO-BN.
Mungkin ada golongan muda yang tidak sedar bahawa apa yang mereka yakin dan sukai itu sebenarnya selaras dengan prinsip DAP. Malah, itulah yang DAP perjuangkan.
Namun, mentaliti perkauman di Malaysia masih belum dipecahkan dominasinya. Masih ada yang berkata, “aku suka perjuangan DAP tetapi aku tidak selesa kerana ada ramai orang Cina dalam DAP.” Hanya masa akan menentukan sama ada pandangan serong hasil didikan perkauman sejak lebih setengah abad itu dapat dimansuhkan dari minda rakyat.
DAP yang jelas, jauh dari apa yang dimomokkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, selama ini. Apa pun, DAP tidak mendabik dada mengatakan penerimaan rakyat Malaysia dari pelbagai latar terhadap parti ini sebagai kejayaan. DAP tetap underdog, cool.
Perjalanan membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang di dalamnya mempunyai pelbagai rencam kebudayaan, agama, atau pendapat adalah cuma selangkah sahaja. Perjalanan ini memakan masa, seperti mana yang pernah diharung oleh pejuang-pejuang DAP yang lepas, cemuhan dan kritikan diterima sebagai pengajaran untuk membentuk jati diri.
Apabila semua rakyat Malaysia sedar bahawa Malaysia adalah milik kita bersama, disitulah maknanya apa yang diperjuangkan DAP, telah melangkah sedikit lagi kehadapan.
Dan disitulah juga, petanda kemunculan masyarakat baru yang lebih demokratik, adil dan bebas – untuk generasi akan datang juga.
Impiannya sudah lama diharapkan, seperti suara dari sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang:
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan