Rabu, 26 Oktober 2011

Wakil rakyat PKR bakal digugur

Parti mahu meletakkan ramai calon baru untuk pilihan raya ke 13 nanti



PETALING JAYA: Beberapa wakil rakyat PKR Selangor dijangka digugurkan dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang, kata sumber.

Mereka akan digantikan dengan orang baru yang muda dan lebih berwibawa, tambah sumber itu lagi.

PKR Selangor memenangi lapan kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN dalam pilihan raya umum 2008.

Adun PKR Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai menteri besar Selangor dalam kerajaan campuran membabitkan PAS dan DAP.

Bagaimanapun, Setiausaha PKR Selangor, Amiruddin Shaari ketika dihubungi berkata, PKR mahu meletakkan ramai calon baru dalam pilihan raya ke 13 nanti.

“Yang ada (wakil rakyat) sekarang baik tetapi kita mahu yang lebih baik yang tidak menimbulkan masalah selain mereka yang dekat dengan rakyat.

“Tetapi siapa yang gugur, siapa yang tidak bertanding akan diputuskan oleh Presiiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail),

“Mungkin ada calon baru bertanding di kawasan yang dimenangi PKR atas faktor wakil rakyat sedia ada menarik diri dan tidak mahu bertanding lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nilai calon

PKR Selangor diketuai timbalan presiden, Azmin Ali yang juga ahli Parlimen Gombak dan Adun Hulu Kelang kedua-duanya terletak di negeri Selangor.

Adun Batu Caves itu berkata, PKR negeri tidak mahu wakil rakyat yang mempunyai masalah dengan rakyat.

Beliau juga menjelaskan, PKR telah mula menerima senarai calon dari cabang dan individu yang berminat menjadi calon PKR.

“Kita akan menilai mereka sebelum dipilih,” tambahnya.

PKR kehilangan kerusi parlimen Hulu Selangor apabila wakilnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal pada awal tahun lalu. Dalam pilihan raya kecil calon PKR Datuk Zaid Ibrahim kalah kepada calon BN dari MIC, P Kamalanathan.

Manakala Adun PKR Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah pula keluar parti tahun lalu.

Tiada ulasan: