Selasa, 18 Oktober 2011

Umno: Komponen BN perlu sedia korban kerusi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu berkompromi bagi mengorbankan kerusi masing-masing untuk memastikan perikatan itu terus meneraju negara selepas pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemilihan calon dan pembahagian kerusi BN oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pemimpin dan anggota komponen parti itu.

“Calon yang dipilih merupakan calon yang mesti menang dan kemenangan parti dalam pilihan raya bergantung kepada siapa calonnya.

“PM (Perdana Menteri) tahu siapa yang terbaik antara yang baik di kalangan calon yang ada. Jadi adalah hak PM untuk tentukan calon dan hak mutlak itu mesti dihormati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 1Malaysia dan Ketahanan Nasional yang dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib mengenai pelarasan formula pembahagian kerusi BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Dipetik Bernama Online, Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata matlamat BN pada pilihan raya umum akan datang bukan saja untuk kekal meneraju negara, tetapi juga mahu menawan semula kerusinya yang hilang ke tangan pembangkang.

“Pada pilihan raya akan datang kita mahu capai majoriti selesa iaitu lebih dua pertiga dan negeri-negeri yang terpinggir dan dipegang oleh pembangkang seperti Kelantan perlu dirampas semula,” katanya.

Beliau juga menegaskan anggota komponen parti itu harus mencari jalan untuk menyatukan dan memenangi hati rakyat bagi membantu BN menambah kerusi pada pilihan raya umum itu kelak.

Tiada ulasan: