Jumaat, 28 Oktober 2011

UKM dakwa cipta sejarah bedah bayi 14 hari guna kaedah lubang kunci

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendakwa telah menjalankan pembedahan kaedah lubang kunci — yang pertama di dunia ke atas bayi berusia 14 hari, bagi mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya.

Menurut UKM, perkembangan itu untuk menjadikannya pembedahan yang pertama seumpama dilakukan ke atas seorang bayi berusia kurang 30 hari.

Maklumat disiarkan portal UKM hari ini berkata, pembedahan terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi berkenaan daripada kecacatan otak.

Bayi itu menghidapi penyakit ‘persistent hyperinsulinemic hypoglycemia of infancy (PHHI), di mana pankreasnya mengeluarkan insulin berlebihan berbanding kadar sepatutnya, kata laporan portal itu.

“Ini menyebabkan tahap glukosa dalam darahnya jatuh dan menyebabkan satu keadaan kekurangan gula kritikal, yang boleh mengakibatkan kecacatan otak bayi,” katanya lagi.

Menurut portal itu, pembedahan telah dilakukan Ogos lalu tetapi tidak diumumkan kerana PPUKM mahu mendapatkan kepastian sama ada ia kes pertama di dunia ke atas bayi berusia bawah 30 hari.

“Kami telah melakukan carian perubatan dan bayi yang termuda yang pernah melalui pembedahan ‘laparoscopic pancreactectomy’ berusia 40 hari yang dilaporkan telah dilakukan di Vietnam,” kata portal memetik Dr Dayang Anita Abdul Aziz, pakar bedah melakukan pembedahan itu.

Pembedahan lubang kunci kini sering dilakukan di hospital kerajaan dan sewasta, tetapi apa yang membezakan PPUKM adalah kemudahan dan kepakaran melakukan pembedahan yang kompleks menggunakan kaedah lubang kunci untuk bayi baru lahir.

Portal itu juga berkata, biasanya bayi yang menghidap PHHI akan dirawat menggunakan ubat terlebih dahulu tetapi dalam kes ini, bayi berkenaan tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubatan diberikan.

Dipetik portal itu, Dr Dayang Anita menambah, rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas.

“Tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawa kepada masalah menghidap diabetes apabila dewasa kelak.

“Maka, pembedahan dilakukan dengan sempurna. Ia di kenali sebagai ‘near total pancreatectomy’,” kata Dr Dayang Anita yang juga Ketua Jabatan Pediatrik PPUKM.

Portal itu menambah, Dr Dayang Anita pada mulanya agak gentar untuk melakukan pembedahan itu kerana ia belum pernah dilakukan ke atas seorang bayi berusia begitu muda.

“Sebelum ini kita mempunyai Profesor Ulung Tan Hock Lim, salah seorang pakar bedah kanak-kanak terbaik di dunia, tetapi kami terpaksa melakukan pembedahan itu tanpa bimbingannya,” kata Dr Dayang Anita yang dibantu oleh satu pasukan pembedahan.

“Dengan menggunakan kamera laparoskopi yang dimasukkan melalui bahagian pusat pesakit, pankreas dapat dilihat dengan jelas pada skrin berdefinisi tinggi tanpa perlu membuat torehan yang panjang di perut pesakit,” katanya.

Dr Dayang Anita kemudian memasukkan satu alat untuk melakukan pembedahan melalui torehan kecil yang tidak melebihi dua sentimeter di bahagian kiri dan kanan perut bayi itu, tambah laporan portal UKM.

“Berpandukan gambar yang berada di skrin, beliau memotong pankreas bayi itu dengan hirisan yang kecil untuk mengeluarkannya sedikit demi sedikit.

“Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu,” katanya lagi. Pembedahan mengambil masa dua setengah jam.

“Ia adalah lebih mudah dari tanggapan saya kerana pankreas seorang bayi adalah kecil, tetapi aspek teknikal yang agak susah kerana ia seperti membuat pembedahan dalam kotak mancis, jadi kita terpaksa mengeluarkannya (pankreas) yang telah dihiris satu demi satu,” tambah Dr Dayang Anita dipetik portal.

Dr Dayang Anita berkata, pembedahan lubang kunci adalah seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup.

“Perbezaannya adalah Dr Dayang Anita menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut.

“Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut telah pun pulang ke Terengganu,” kata portal itu lagi.

Tiada ulasan: