Seorang pensyarah dikatakan memperlekeh sambutan Deepavali oleh penganut agama Hindu.
BEHRANG: Sekumpulan pelajar India beragama Hindu dari sebuah Politeknik di Behrang, Perak meluahkan rasa kecewa atas sikap tidak prihatin yang ditunjukkan beberapa pensyarah.
Menurut pelajar terbabit, pensyarah mengadakan kuiz dan pembentangan projek pada 25 dan 27 Oktober 2011 sedangkan sambutan Deepavali jatuh pada 26 Oktober.
“Kami sangat kecewa dan sedih kerana pensyarah seperti sengaja mahu menganiaya kami dan tidak menghormati sambutan Deepavali,” kata salah seorang pelajar yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang dikenakan tindakan disiplin oleh pensyarah terbabit.
Tinjauan mendapati bahawa Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi sudah mengirim surat rasmi pada 7 Oktober lalu kepada semua politeknik berhubung cuti sempena Deepavali.
Surat berkenaan yang turut diterima Politeknik Sultan Azlan Shah pada 12 Oktober lalu dengan jelas menyatakan pengarah politeknik “diarah membenarkan pelajar India diberi cuti bermula 25 hingga 28 Oktober 2011 sempena Hari Deepavali pada 26 Oktober 2011”.
Malangnya, beberapa pensyarah politeknik tersebut memaksa pelajar menghadiri kelas dengan sengaja mengadakan kuiz dan pembentangan projek yang membawa markah dalam pengajian.
Seorang pensyarah dikatakan memperlekeh sambutan Deepavali oleh penganut agama Hindu dengan bertanya, “Kalau tak sambut Deepavali untuk satu tahun tak boleh? Takkan tak boleh berkorban?”
Para pelajar terbabit kecewa kerana pensyarah itu juga secara amat jelas melanggar arahan yang dikeluarkan Putrajaya.
Pada 27 Julai lalu, pada Majlis Pelancaran Gerakan Pelajar India 1Malaysia di Universiti Malaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman rasmi berkenaan cuti Hari Deepavali pagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Upacara keagamaan berkaitan sambutan Deepavali bermula pada 25 Oktober tetapi kami tidak dapat pulang untuk bersama-sama keluarga walaupun kerajaan beri cuti.
“Sikap yang ditunjukkan pensyarah amat mengecewakan dan seperti sengaja mahu mensabotaj semangat 1Malaysia yang dilaung- laungkan Perdana Menteri,” kata pelajar terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan