Ahad, 2 Oktober 2011

Nak menang pun janganlah hina hukum Allah...


Oleh Malaysia Harmonis


Pada waktu-waktu kebelakangan ini, satu demi satu isu dilonjakkan ke tengah masyarakat sehingga mencetuskan polemik, kegusaran serta semangat menyokong dan membangkang yang bermacam-macam.

Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, penilaian semula sejarah kemerdekaan negara dan terbaharu, isu pelaksanaan hukuman hudud oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Ditelek dari sudut mana pun, warga Malaysia yang celik akan nampak bahawa semua isu panas yang ditimbulkan ini adalah gendang-gendang kecil plihan raya umum yang sedang dipalu. Ia adalah nada muzik yang sedang disusun menjadi gelombang besar yang akhirnya akan digunakan untuk menyapu pihak lawan. Inilah yang sedang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Namun yang paling berapi antara isu-isu tersebut ketika ini adalah keberanian akhbar Utusan Malaysia pada 26 September 2011 (semalam) menyiarkan karikatur yang jelas menghina hukuman hudud, iaitu hukuman yang ditetapkan oleh Allah Rabbul Jalil untuk dilaksanakan orang-orang beriman.

Karikatur tersebut menunjukkan seorang yang berserban (difahami sebagai Tuan Guru Nik Abdul Aziz) sedang mendengar lagu lama sambil berbaring. Irama yang keluar dari corong pemain piring hitam itu pula digambarkan berbunyi lebih kurang “Jeng.. jeng... jeng... hu hu... hud... hud... du... du...huddu... huudd.. du.. dududu...”

Lelaki berserban itu pula kelihatan seronok ‘melayan’ lagu lama tersebut. Apa yang mungkin mudah difahami ramai adalah: Nik Aziz memutarkan kembali isu lama iaitu pelaksanaan hukuman hudud sebagai modal PAS untuk menghadapi pilihan raya.

Sedarkah pencipta karikatur (Miki) dan Utusan, atas alasan apa sekalipun, menyiarkan sesuatu yang kontroversi seperti itu terang-terangan menghina agama? Hudud bukan ciptaan PAS atau mana-mana manusia di dunia ini. Ia bukan juga ciptaan Nabi Muhammad. Ia adalah hukuman yang dianugerahkan Allah kepada manusia agar pelaksanaannya dapat menjamin kesejahteraan hidup di dunia, bahkan mengundang keberkatan Ilahi. Orang-orang yang beriman mesti yakin dengan hukuman yang terkandung dalam al-Quran ini.

Barangkali Utusan berhujah, “Mana ada disebut ‘hudud’ dalam karikatur? Cuba perhatikan betul-betul... tidak ada satu perkataan ‘hudud’ pun ditulis.”

Ya, betul. Tapi kenapa butir-butir perkataan yang terpapar itu begitu mirip dengan ‘hudud’, dan kenapa watak lelaki berserban itu seakan-akan Nik Aziz? Kenapa ia disiarkan pada ketika orang membahaskan isu hudud ini? Adakah ia hanya kebetulan?

Adakah rakyat Malaysia yang terkenal berilmu tinggi ini begitu naif hingga tidak reti membaca apa yang tersirat di sebalik yang tersurat? Kenapa tidak memilih perkataan lain yang tidak akan dikaitkan dengan hudud?

Soalan besarnya ialah, kenapa siarkan karikatur begini lagi?

Pada 15 Jun lalu, Utusan telah pun menconteng arang ke muka sendiri apabila menyiarkan sebuah karikatur (karya Miki lagi!) berjudul ‘Kekeliruan Kes Rogol’. Keadaan pertama menunjukkan seorang wanita mengaku kepada Tok Penghulu yang berserban bahawa beliau dirogol. Tok Penghulu bertanyakan sama ada wanita itu mempunyai empat orang saksi (dengan perkataan ‘4 orang saksi’ dihitamkam). Apabila wanita itu menjawab dia hanya ada rakaman dalam telefon bimbit sahaja, Tok Penghulu tidak menerima aduannya kerana telefon hanya besi yang tidak ada mata dan telinga (tidak boleh menjadi saksi). Keadaan kedua pula menunjukkan wanita itu membuat aduan yang sama kepada seorang anggota polis dan aduannya diterima.

Karikatur ini turut menimbulkan bantahan ramai kerana dikatakan mempermain-mainkan hukuman syarak. Isu ini senyap seketika. Tiba-tiba, tiga bulan setengah kemudian, satu lagi karikatur kontroversi diterbitkan.

Kita sangat marah apabila karikatur dalam akhbar di Denmark mempersendakan Nabi Muhammad. Tetapi kenapa pula akhbar kita di sini yang dimiliki orang Melayu Islam menyiarkan karikatur yang mempersendakan hukuman Allah? Kalau begitu, jangan melenting sekiranya umat Islam di negara ini marah dan memboikot Utusan.

Sebagai akhbar yang dilihat selalu menyokong kerajaan BN, tidak salah kalau dikatakan tindakan Utusan ini bertujuan mengangkat BN dan menyerang PR dalam mengahadapi pilihan raya umum akan datang. Isu hudud yang ditimbulkan sekarang ini pun didakwa oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai strategi BN untuk melihat PR yang terdiri daripada PAS, DAP dan Keadilan bertelagah.

Pilihan raya, pilihan raya juga. Tetapi kita ada agama yang membataskan perlakuan agar tidak terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Kata orang, kalau nak menang pilihan raya pun, janganlah sampai memperlekeh Islam dan menghina hukum Allah dalam kempen kita. Jangan sampai Allah menguji kita semua di bumi bertuah ini denga sesuatu yang kita tidak sanggup memikulnya.

“Ya Allah, janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat seperti yang pernah Engkau berikan kepada umat-umat yang terdahulu...” http://malaysiaharmoni.com

Tiada ulasan: