Dengan pilihan raya umum semakin hampir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini meminta sayap Pemuda parti itu melancarkan perang siber 'habis-habisan' terhadap pembangkang.
Berucap di perhimpunan agung Pemuda MCA Kebangsaan pagi ini, Liow mahu MCA lebih agresif untuk menghalang Pakatan Rakyat daripada "menipu rakyat".
Bagi menghentikan parti pembangkang daripada terus menipu
rakyat, katanya, usaha tersebut mesti dimula sekarang, manakala Pemuda MCA diminta bersedia melancarkan perang siber itu.
Katanya, blog merupakan media publisiti utama dalam pilihan raya umum lalu, manakala Facebook dan Twitter pula dijangka menjadi media utama dalam pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu, katanya, calon-calon MCA tidak boleh mengabaikan perang internet dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Liow berkata pilihan raya umum akan datang akan menentukan "hidup mati" parti tersebut.
Kerusi yang diwakili MCA hanya tinggal separuh - dari 31 kepada 15 - selepas pilihan raya umum lalu - yang menurut Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi akibat memandang rendah kuasa Internet.
Sambil mengakui bahawa ada ahli "telah kehilangan keyakinan" selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lepas, Liow menggesa ahli-ahli MCA menangani kebimbangan psikologi tersebut.
"Lawan kita tidak sekuat seperti yang anda fikirkan, jika kita bergerak dengan satu hati dan minda, kita tidak perlu takut pada sesiapa," tegasnya.
Cabar DAPLiow turut mencabar DAP keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS dan PKR jika tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.
"Nik Aziz telah berkata jika DAP menentang undang-undang hudud, ia boleh tinggalkan Pakatan Rakyat. Pemimpinnya, Anwar Ibrahim juga menyokong undang-undang hudud di Kelantan. Kenapa pula DAP tidak berani mempertahankan pendiriannya (menentang hudud) dan tinggalkan Pakatan Rakyat?"
Beliau juga memberi amaran kepada DAP supaya tidak membawa masyarakat Cina ke jalan buntu.
"Bak kata pepatah, 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna'. Segalanya sudah lambat jika hukum hudud dilaksanakan," katanya.
Turut hadir Ketua Pemuda BN dan juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan