Jumaat, 7 Oktober 2011

Mangsa polis Bersih 2.0 wajar dibayar pampasan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) tidak boleh menerima kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang menyatakan bahawa isu keganasan polis semasa perhimpuanan Bersih 2.0 diperbesarkan dan pihak polis tidak boleh disalahkan sepenuhnya.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, dalam insiden itu, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu meminta maaf dengan segera di atas kekerasan polis terhadap peserta himpunan Bersih 2.0.

Katanya, kerajaan juga perlu membayar pampasan dan ganti rugi terhadap semua mangsa keganasan polis termasuk keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan tersebut.

“Kami mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM22,855.76 termasuk kos penggunaan 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom pemedih mata (TS Grenades) untuk menyuraikan peserta perhimpunan aman Bersih 2.0,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan tersebut adalah satu penyelewengan duit rakyat dan amat tidak professional.

Menurutnya, penggunaan senjata sebegitu jelas melanggar hak rakyat untuk bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia.

Selain itu, ujarnya kerajaan juga melanggar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam penggunaan kekerasan dan senjata api.

“Kami inginkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara, kenapa wujudnya perbezaan jumlah orang yang ditangkap di mana mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah yang ditangkap adalah 1,509 orang padahal kenyataan polis menyatakan sebanyak 1,697 orang.

Katanya, Suaram berpendirian, KDN dan Ketua Polis Negara perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kekerasan polis yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Tambahnya, tindakan memberikan alasan yang tidak munasabah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan oleh polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 akan mengecewakan rakyat dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai kehendak politik untuk menambahbaikan institusi polis seperti yang diinginkan oleh rakyat jelata.

Fungsi Biro Tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia dalam menangani anggota polis yang melanggar garis panduan operasi polis (SOP) sememangnya tidak cukup kerana tidak telus dan laporan tatatertib adalah sulit.

“Kami menyeru kerajaan pimpinan Najib Tun Razak untuk segera menunaikan permintaan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

“Hanya dengan kewujudan suruhanjaya tersebut yang adil dan bebas yang membolehkan institusi polis untuk ditambahbaik dengan berkesan,” katanya.

1 ulasan:

Johan bin Ramli berkata...

Perhimpunan Bersih menyebabkan orang awam tidak tenteram... kerajaan mana yang tak geram bila dikritik agensinya... Kerajaan Selangor pun sama geramkan... Polis sememangnya profesional..hanya segelintir yang mengikut emosi... Itulah awal lagi dah dikatakan kepada BERSIH... Janganlah engko berdemo walaupun aman secara terbuka....Buatlah cara lain ... itu kata kerajaan memerintah... Bila engko dah dapat perintah maka bagilah peluang orang-orang berdemo sepanjang masa... siang malam... tak mandi... dah macam perayaan tak tahu bila Thaipussam... Kan habis duit peluru tu... lebih baik duit peluru tu kita gunakan dalam 'paintball'... lagi syok.