Isnin, 24 Oktober 2011

Malaysia, Hudud dan cinta tragik dari Kunduz

Hafiz Zainudin


Kita tidak boleh menyalahkan PAS kerana setiap kita mempunyai hak untuk memasang cita-cita. Seperti kata-kata Martin Luther King, "I have a dream.." yang kemudiannya dimakbulkan tuhan!

Ternyata sebab kita sukakan polemik. Contohnya sebagaimana telah dicetuskan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang akhirnya mencungkil salah satu fakta sejarah yang dikambus UMNO selama ini iaitu Mat Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan yang mempunyai dan latar belakang pendidikan Islam yang kukuh.

Terkini, yang menyebabkan satu Malaysia gempar lagi. HUDUD! Lihatlah bagaimana "keperihatinan" orang Malaysia terhadap polemik hudud yang telahpun bermula sejak lebih 20 tahun dahulu di Kelantan dengan kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Walau bagaimanapun, kerajaan pusat telah mengugut untuk mengisytiharkan darurat sekiranya undang-undang ini dikuatkuasakan.

Isu hudud ini terus evergreen dan menarik ramai pihak terjerumus ke kancah perdebatan. Samada membawa kepada pencerahan fikrah mahupun sebaliknya, polemik hudud ini akan terus sahaja timbul sepanjang musim.

"Hudud" menjadi perkataan magik yang turun dari langit dan membuatkan kita semua bercakap mengenainya lalu histeris; seolah-olah telah ramai yang telah mati direjam batu atau dipotong tangan. Dihantui dengan debu-debu padang pasir, lelaki beserban dan kisah cinta tragik sepasang kekasih muda dari Kunduz, Siddqa yang diratah batu dan mati dimuncung AK47 manakala kekasihnya Khayyam, mati direjam batu begitu sahaja Januari lalu.

Hudud sebagai ancaman?


Sama ada sengaja mahupun tidak. Polemik hudud membuatkan kita hanyut dan tenggelam dalam emosi, kemudian kita jadi asyik dan khayal di samping menimbulkan perasaan-perasaan yang tidak sedap sehingga boleh memberikan kesan yang sangat besar.

Belum ada muslim di Malaysia mati di hududkan. Tetapi, dalam konteks politik di Malaysia, lihatlah bagaimana DAP pernah kalah teruk pada PRU 1999. Masyarakat Cina dipolemikkan dengan isu Negara Islam yang diperjuangkan PAS di mana "hudud" antara yang diberi keutamaan. Malah pada tahun 2003; PAS menerbitkan Dokumen Negara Islam yang dilihat bertujuan untuk menyaingi UMNO yang mengakui bahawa Malaysia memang sebagai sebuah "negara Islam".

Di saat PAS berjaya mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002 dan "memindahkan" monumen penyu ke stor JKR Kuala Terengganu, BN terus berkuasa dengan majoriti yang baik. Persoalannya, adakah kita tidak belajar dari "keghairahan" lepas dan mahu menanggung risiko "kalah teruk" Yang kemudiannya mengakibatkan negara ini terus ditadbir oleh golongan yang korup semata-mata untuk perkara yang masih jauh?

Medan ujian Pakatan Rakyat


Kalau tidak disebabkan musim PRU 13 yang bakal tiba dan sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan, mungkin polemik hudud tidak ketara timbul dan PAS boleh menumpukan kepada isu-isu yang lebih realistik. Paling dekat, pembelaan serius terhadap kelembapan kes yang dibicarakan di mahkamah syariah terhadap kalangan isteri yang mohon fasakh. Begitu juga menganjurkan lebih banyak program kebajikan terhadap golongan miskin, pelajar dan saudara baru.

Justeru, telah wujud persoalan, apakah polemik hudud ini; walaupun bukan isu "Negara Islam" akan menyebabkan nasib malang buat gabungan Pakatan Rakyat? Menariknya, ia merupakan sebagai medan ujian buat Pakatan Rakyat sendiri. Apakah tawaran Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat mampu menampung tekanan yang kuat akibat polemik hudud yang dimainkan BN sehingga ini?

Kita, pada masa yang sama juga diperlihatkan bagaimana PAS menangani polemik ini dengan berhemah dan terbuka. Ia adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan yang akhirnya; dengan tidak menggadaikan prinsip Islam yang dibawanya, PAS secara terbuka mengulangi penegasan untuk terus mendokong aspirasi bersama Pakatan Rakyat iaitu keutamaan membentuk sebuah negara berkebajikan. Ini merupakan sebuah toleransi yang perlu dihargai samada oleh DAP mahupun PKR.

Populariti PAS atau ijtihad baru?

Polemik hudud telah menaikkan populariti PAS di kalangan masyarakat Melayu negara ini. Walau bagaimanapun pada masa yg sama populariti PAS dilihat menurun bagi masyarakat Cina. Secara tidak langsung kita dapat melihat semakin ramai kalangan muslim mahupun non-muslim memperbincangkan polemik hudud ini secara terbuka-sehingga bosan?

Apapun, dalam konteks Malaysia kini, saya sangat bersetuju dengan pendapat Dr.Asri yang menyatakan bahawa hudud perlu ijtihad baru dalam karangannya berjudul Hudud dan beberapa gambaran salah yang telah disiarkan di laman webnya, Minda Tajdid. Antara lain beliau menekankan aspek hak privasi dan pembinaan masyarakat yang pemaaf. Beliau, pada masa yang sama turut mengenengahkan rasional berserta nas-nas dari Quran dan hadis berkaitan soal ini dan didapati ianya mampu untuk memberi kefahaman secara ringkas dan baik.

Tenggelam timbul dan persoalan..

Dalam membicarakan soal hudud, kita telah pergi jauh dan perlu berhenti. Maksud saya, polemik ini telah menjauhkan kita dari realiti sebenar Malaysia yang perlu ditangani segera. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh saudara Mohamad Sabu sendiri melalui wawancara oleh Editor BM, Lim Hong Siang. Soal samada hudud boleh dicapai atau tidak, secara berjenaka Mohamad Sabu berkata "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!" (Baca: Mat Sabu: Jangan terperanjat anak tokoh PAS bertanding atas tiket DAP)

Isunya sekarang bukan soal perlaksanaan hudud sesuai atau tidak, begitu juga samaada soal ia bertentangan atau dibenarkan perlembagaan. Bukan juga isu menerima atau menolak hukum ini. Lupakan juga soal bila waktu paling kondusif untuk perlaksanaan hudud.

Di sekeliling kita masih ada ramai keluarga miskin yang perlukan bantuan, pelajar- pelajar yang menderita akibat hutang pendidikan, pekerja-pekerja yang bersuara agar gaji mereka dinaikkan, nasib petani dan peneroka yang perlukan pembelaan, balu-balu dan anak-anak yatim yang perlukan perlindungan. Soalnya ialah, di manakah keutamaan kita sekarang? Apakah kita perlu beri ruang kepada BN untuk mengucar-kacirkan gabungan Pakatan Rakyat melalui isu ini kerana ruang yang "diberikan" terlalu luas?

Sekali lagi ditegaskan. Ini bukan soal menolak hukum Quran. Ini soal keutamaan. Soal menguruskan manusia juga sebahagian dari ajaran Islam. Di antara ruang-ruang keutamaan dan kesamaran ini, ia merupakan sebuah proses pembelajaran danpengisian.

Soal perlaksanaan hudud di Malaysia masih terlalu samar dan jauh. Apakah kita mahu tenggelam dalam suatu yang masih belum pasti?

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview.

1 ulasan:

faruk berkata...

Hudud : hukum yang sesuai atau propaganda sesuatu pihak politik/?