Jumaat, 7 Oktober 2011

K’jaan digesa tumpu golongan miskin bandar

Golongan miskin bandar perlu diberi perhatian sepenuhnya memandangkan kemiskinan yang melanda mereka jauh lebih dahsyat daripada masyarakat luar bandar.



PETALING JAYA: Menjelang Bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok, kerajaan diharap memberi tumpuan terhadap kesejahteraan hidup golongan miskin bandar.

Perkara itu diutarakan Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris) Feriz Omar sambil berkata golongan miskin bandar perlu diberi perhatian sepenuhnya memandangkan kemiskinan yang melanda mereka jauh lebih dahsyat daripada masyarakat luar bandar.

“Berharap belanjawan tumpu terhadap rakyat golongan pertengahan. Memandangkan mereka memacu pembangunan dan kelompok yang setia membayar cukai kerajaan.

Namun kemiskinan akar umbi perlu diambil kira. Tumpukan perhatian terhadap golongan miskin bandar, keadaan golongan miskin bandar ini lebih dahsyat.

Mereka perlu diberi perhatian penuh kerana tidak mempunyai tempat mencari rezeki seperti pertanian, mengail, bercucuk tanam yang dilakukan golongan luar bandar,” katanya kepada FMT.

Menurut Feriz selain fokus kemiskinan, pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga memerlukan perhatian agar keuntungan ekonomi yang dipacu dapat dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya.

Katanya pembangunan sosial dan pendidikan juga perlu dipertingkatkan memandangkan keruntuhan moral anak muda yang kian membimbangkan kini.

Feriz berkata asas dalam pendidikan agama dan nilai sivik perlu dikukuhkan kerana tumpuan belanjawan kali ini adalah kunci kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Selain pembangunan IKS, aspek pendidikan dan pembangunan berbentuk pengisian kepada fizikal perlu ada. Walaupun wujud anasir luar yang mengkucar-kacirkan kerajaan namun bajet pada kali ini adalah kunci kepada PRU-13. Maka Perdana Menteri perlu jalankan

kerja sehabis mungkin untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” jelasnya.

Pengecualian cukai

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita Ivy Josiah pula berkata beliau mahu pengecualian cukai bagi badan bukan kerajaan (NGO) yang berlandaskan hak asasi manusia.

“Ini kerana ia memudahkan NGO berkenaan mendapatkan dana dalam menyokong sebarang operasi yang dijalankan,” katanya.

“Pengiktirafan hak asasi manusia adalah dengan melakukan kerja-kerja yang sah maka dengan pengecualian cukai ini memberi ruang kepada NGO untuk mendapat dana sekaligus menyokong kos operasi kami,” katanya.

NGO yang memperjuangkan orang kurang upaya (OKU), Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) berharap agar bantuan bagi golongan tersebut dipertingkatkan.

Menurut Penasihat ILTC Francis Siva, dua perkara yang diutarakan adalah berkaitan kenaikan elaun ke atas golongan OKU yang tidak mampu bekerja dan peruntukan lain.

“Setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi elaun RM200 kepada merekayang mampu bekerja tapi yang tidak mampu RM150. Itu tidak logik.

Oleh itu kami menyeru agar kerajaan memberi elaun RM500 ke atas golongan cacat yang tidak mampu bekerja dalam Belanjawan 2012 ini.

“Bagi peruntukan lain, menteri bertanggungjawab sebelum ini pernah memberi kenyataan akan menyediakan peruntukan sewajarnya kepada golongan seperti kami.

Namun sehingga sekarang masih tidak dilaksanakan. Kami berharap Perdana Menteri fokus kepada perkara ini agar segala kemudahan yang sewajarnya diberi kepada golongan OKU,” katanya yang dihubungi FMT.

Tiada ulasan: