Selasa, 18 Oktober 2011

Jangan lupa ‘jasa’ Umno bela Raja Melayu

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 18 Okt: “Kita semua jangan sesekali lupa akan ‘jasa’ Umno yang hipokrit dan pandai berlakon kononnya mereka pembela kepada institusi raja dan pembela Melayu,” kata Drs Khalil Idham Lim.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu menyatakan demikian sebagai respons bahawa pembela yang dikatakan wujud di sekitar orang Melayu sekarang ini sebenarnya adalah golongan yang tidak menyenangi kuasa Raja-Raja suatu ketika dahulu.

Katanya, Pada 1993, Dr Mahathir Mohamad telah melucutkan kekebalan Raja-Raja Melayu dan beliau sendiri yang mahu diwujudkan satu peruntukan undang-undang supaya raja-raja boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas.

Nampaknya, kata beliau semakin lama Umno BN menerajui Malaysia, semakin parah dan tenat keadaan negara, penipuan berleluasa, fakta dan sejarah terus menjadi bahan yang berjaya diseludup dari pengetahuan rakyat.

Tambahnya, semakin lama juga BN menerajui pusat semakin meningkat hutang negara, rakyat kini telah merasai kesan meningkatnya jenayah rasuah dan situasi bahaya yang terkini iaitu makin meningkatnya warga asing yang mendapat Maykad segera.

“Jawapan yang meyakin dari pihak kerajaan masih belum muncul sehingga sekarang,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong kepada Harakahdaily.

Katanya rakyat sepatutnya wajib mengetahui situasi sebenar negara, di mana negara yang semakin tenat adalah akibat pemimpin Umno BN yang telah menyalahgunakan kuasa secara berleluasa.

Justeru, beliau menambah, rakyat perlu melakukan sesuatu untuk menggembleng perubahan kepimpinan negara menjelang PRU 13 nanti.

“Menyokong dan memenangkan Pakatan Rakyat bererti anda telah menyelamatkan Malaysia dari kehancuran yang berterusan akibat kerakusan pemimpin BN yang sentiasa mengaut keuntungan dari jawatan dan amanah yang telah dikhianati sekian lama,” ujarnya.

Tiada ulasan: