MALAYSIA KINI
Keputusan sama ada PAS akan menyertai atau tidak Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan Sabtu ini akan diputuskan malam ini oleh Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.
Menurut Harakahdaily yang memetik Tuan Ibrahim, keputusan mesyuarat itu nanti mesti dipatuhi oleh semua organisasi PAS.
Semalam, PAS Selangor memberi sokongan bersyarat untuk menyertai perhimpunan anti murtad itu jika tujuannya adalah untuk memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini.
Serang Pakatan
Menurut pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, penganjuran himpunan itu juga mesti memastikan ia tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.
Katanya, meskipun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme.
"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi.
"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya.
Antara penceramah yang dijadual berucap pada majlis itu adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Selain itu, pengerusi bersama acara itu, Yusri Mohamad berkata, dirinya dan pengerusi bersama Mohd Azmi Abdul Hamid, yang juga pengerusi Majlis Perundingan Islam Malaysia, wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sarjana agama Indonesia Yusuf Mansur juga akan menyampaikan ceramah.
Himpunan Sejuta Umat itu selama empat jam itu dijadualkan bermula pada jam 2 petang dengan tujuan “menyelamatkan akidah umat”.
Lebih daripada 29 NGO telah mengesahkan penyertaan dalam perhimpunan itu. Antara mereka Gabungan Penasyid Malaysia, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam, dan Persatuan Ulama Malaysia.
Mahu hadiri
Sementara itu, Pemuda PAS dalam satu kenyataan media berkeras mahu menghadiri Himpunan Sejuta Umat pada Sabtu ini dan menyokong usaha “menyatu suara dan tindakan ke arah memperjuangkan Islam serta mempertahankan akidah ummah”.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata usaha murni itu perlu disokong oleh seluruh umat Islam.
Tanpa mengulas agenda anti-Kristianisasi perhimpunan itu, Nasruddin berkata objektif utama acara itu adalah “memotivasi ummah agar bangkit mempertahan dan memperjuangkan akidah mereka.
Selain itu, katanya majlis itu adalah untuk sebagai satu penyataan sikap dan deklarasi ummah yang sedia berjuang
“Telah tiba masanya ummat Islam menghentikan polemik sesama sendiri, konflik yang merugikan masa depan mereka.
“Saling curiga mencurigai, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, jatuh menjatuh dan khianat mengkhianati diantara satu sama lain adalah punca segala musibah yang menimpa ummah, sedang mereka mempunyai sebab yang sangat kuat untuk teguh bersatu iaitu Aqidah Islamiyyah,” katnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan