Ahad, 2 Oktober 2011

Guan Eng: DAP ditubuh untuk bela Perlembagaan, bukan lawan raja

THE MALAYSIN INSIDER



KEPALA BATAS — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu ditubuhkan untuk membela dan menjaga prinsip Perlembagaan Persekutuan bukannya untuk menentang Raja-raja Melayu sebagaimana didakwa musuh politik beliau.

Lim (gambar), yang dikecam sejak minggu lalu kerana didakwa memburukkan Johor berhubung kadar jenayah di negeri itu berkata, beliau tidak pernah menyentuh apa-apa tentang Johor atau mengenai kadar jenayah negeri itu sepertimana yang didakwa media pro-BN.

“Tentang isu di Johor, kalau tak sebut tak sedap. Saya dituduh mensabotaj Johor semasa ditemu ramah oleh stesen radio Australia, apabila keluar kenyataan itu saya terkejut sama ada saya ada sebut tentang Johor atau tidak dalam temu ramah itu.

“Saya semak kembali transkrip temu ramah itu, tidak ada satu ayat atau perkataan tentang Johor, Johor pun saya tidak sebut... bila terbukti saya tidak bersalah, saya pula dituduh memburukkan Johor semasa di Singapura,” katanya pada Rapat Umum Perdana sempena Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di sini malam tadi.

Kenyataan Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang telah menyinggung perasaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat negeri itu.

Sebelum ini Lim telah menafikan laporan berhubung kenyataannya memburuk-burukkan Johor.

Kelmarin Lim memohon maaf kepada Sultan Johor kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan itu.

Lim berkata beliau memohon maaf sepenuhnya kepada baginda dan rakyat negeri Johor. Pun begitu kata Lim, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri lain.

Lim berkata beliau merasakan bahawa dirinya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh BN.

“Bila saya tahu tuanku (Sultan Johor)tersinggung saya dengan serta-merta memohon maaf kepada tuanku.

“Sepanjang perjuangan DAP yang ditubuhkan sejak 1965, DAP ditubuhkan untuk menjaga dan membela Perlembagaan Persekutuan, kita bukan ditubuhkan untuk melawan raja tapi lawan kerajaan BN. Kita perlu lawan BN bukan raja,” kata Lim.

Lim dalam satu temu ramah sebuah stesen radio di Australia dilaporkan berkata, Johor bukanlah negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah dan peluang untuk diculik sangat mudah berbanding Pulau Pinang.

Lim didakwa membuat kenyataan itu sebagai cubaan untuk mengalihkan pelaburan Australia di Johor ke Pulau Pinang.

Selain itu, Lim turut didakwa mengeluarkan kenyataan sama semasa lawatan kerja ke Singapura baru-baru ini.

Tiada ulasan: