Isnin, 24 Oktober 2011

Awas! Terapi ikan boleh sebarkan penyakit bahaya

WARTA KERAJAAN RAKYAT


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia memberi amaran risiko terapi ikan atau lebih dikenali sebagai spa ikan boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/Aids dan batuk kering serta beberapa penyakit lain yang berjangkit menerusi bawaan air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata ikan dalam kolam itu boleh menjadi pembawa virus HIV menerusi gigitan pada kaki pelanggan dan menyebarkannya kepada kaki pelanggan lain.

Penyakit lain, seperti Hepatitis C, batuk kering dan penyakit kulit pula boleh dijangkiti menerusi bawaan air kerana bakteria berbahaya yang menjadi punca penyakit itu boleh hidup dalam air kotor dan tidak diganti dalam tempoh yang lama.

Ia boleh menyebabkan pengguna kolam dijangkiti bakteria berkenaan, terutama jika kolam itu banyak digunakan oleh penghidap penyakit itu.

Dr Hasan berkata terapi ikan itu selamat jika digunakan secara individu dan bukannya secara berkongsi seperti yang diamalkan sekarang.

'Amalan ini menghadapi risiko tinggi mendapat penyakit melalui gigitan ikan dan akibat bawaan air selepas ia digunakan berulang kali oleh orang ramai,' katanya.

Mengenai tindakan kementerian bagi memastikan orang ramai tidak dijangkiti penyakit, Dr Hasan berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang atau menutup premis terapi ikan.

Namun, pihaknya akan berusaha menanganinya, termasuk kemungkinan menggubal undang-undang.

Akhbar The Sun di Britain baru-baru ini menyiarkan amaran yang dikeluarkan Agensi Perlindungan Kesihatan negara itu bahawa rawatan spa ikan boleh menyebarkan penyakit berbahaya.

Mereka yang menghidap kencing manis dan psoriasis dinasihatkan agar menjauhinya.

Sementara itu, tinjauan di sini mendapati kebanyakan pengguna yang mengamalkan kaedah rawatan berkenaan tidak mengetahui kesan negatif rawatan itu.

Bagi seorang pengguna, Encik G.Vigineshvary, 28 tahun, beliau akan memastikan kebersihanan dan mutu spa yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum menjalani terapi berkenaan.

'Secara logik, memang geli berkongsi kolam air dengan orang lain yang kita tidak tahu kebersihannya. Selepas mendengar laporan ini, mungkin saya akan mengurangkan atau menghentikan aktiviti ini,' katanya. -- BHM.

Tiada ulasan: