Rabu, 11 Mei 2011

Pemuda PAS gesa Putrajaya jelas rasional naik harga petrol, gula


KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS menggesa kerajaan BN menjelaskan rasional menaikkan harga minyak dan gula berturut-turut, yang masing-masing berkuat kuasa minggu lalu dan hari ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad mendesak kerajaan BN menjelaskan berkenaan kenaikan harga minyak RON97 pada 5 Mei lepas setelah mengalami kenaikan pada 1 April lalu.

Gula pula dinaikkan harga 20 sen sekilogram hari ini.

“Dewan Pemuda PAS melahirkan rasa kesal kerana kerajaan BN gagal memberi penjelasan terperinci berkenaan kedudukan ekonomi semasa dan kewangan negara yang menyebabkan kerajaan perlu menaikkan harga kedua-dua barang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut berkata, kerajaan BN kelihatan terdesak sehingga terpaksa menaikkan harga barang pengguna sejurus selepas pilihan raya Sarawak lalu.

“Mereka (kerajaan BN) ingin mengukuhkan dana untuk persiapan pilihan raya umum ke-13 bagi mengekalkan kuasa walaupun kewangan negara terhad,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau turut menggesa, kerajaan BN menjelaskan kepada rakyat jumlah kos tambahan untuk mengendalikan pilihan raya dan jumlah dana yang digunakan atas nama kerajaan ketika Menteri-menteri Kabinet BN turun berkempen selain RM50 juta yang diperuntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengakibatkan kenaikan harga barang secara mendadak.

Dalam satu kenyataan hari ini, kenaikan harga barang keperluan gula sebanyak 20 sen sekilogram yang berkuat kuasa hari ini dan harga petrol R0N97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter minggu lalu dalam perkembangan di bawah langkah rasionalisasi subsidi.

Oleh itu, beliau berpendapat, program rasionalisasi dan penyelarasan subsidi tidak wajar dilakukan pada saat ini kerana ekonomi negara masih belum stabil dan kadar pendapatan rakyat masih rendah.

“Kerajaan seharusnya menyelesaikan masalah jurang pendapatan rakyat yang kaya dan miskin sebelum kenaikan haraga barang diumum,” katanya.

Tiada ulasan: