SHAH ALAM - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak kerajaan segera membatalkan konsert Adam Lambert yang dijangka bakal "membinasa"kan akhlak masyarakat kita khasnya golongan anak muda di negara ini.
Apatah lagi, Adam Lambert yang akan mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil pada 14 Oktober ini pernah ditolak oleh rancangan teleyisyen barat seperti Good Morning America kerana membantah persembahan beliau yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Ketua Pemuda DPPP, Nasrudin Hassan Tantawi dalam kenyataannya semalam berkata DPPP kecewa dengan sikap tidak peduli kerajaan yang masih mengizinkan konsert hiburan liar tersebut dianjurkan dalam negara ini.
"Semua orang kenal dan tahu bagaimana aksi dan sikap Adam Lambert di pentas. Seorang yang konsisten mempamerkan aksi liar, lucah dan melampau sehingga beliau turut ditolak oleh masyarakat barat.
"Sementelah Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, beliau bukan sahaja mengaku sebagai 'gay' dan pengamal homoseks bahkan beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya.
"Persoalannya, mengapa dalam keadaan kerajaan yang bercadang mahu mengajar Amerika mengenai Islam agar masyarakat Amerika tidak lagi mengidap penyakit Islamophobia tiba-tiba boleh menerima konsert liar seperti ini?Atau kerajaan kita sendiri sebetulnya sedang mengidap penyakit yang sama (Islamophobia)?" tanya Nasrudin.
Menurut beliau, DPPP difahamkan pada hari yang sama (14 Oktober) satu lagi konsert hiburan yang menampilkan artis baru dunia iaitu Maher Zain yang akan mengadakan persembahannya di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, malangnya artis yang membawa mesej yang mulia dan mendidik jiwa tidak pula ditekankan oleh pihak kerajaan dan media.
"Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekaligus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah.
"Tidak cukup lagikah kerosakan dan kebinasaan sosial hari ini sehingga ia mahu ditambah lagi?," soalnya lagi.
Tambahnya, sebelum ini negara turut dikejutkan dengan kempen atau seruan ‘berzina tanpa mengandung’ yang dipromosikan sebagai mengamalkan seks sihat tanpa perlu panik menanggung beban hamil yang akhirnya berkesudahan dengan jenayah buang bayi.
Logiknya kempen itu katanya, kelihatan mampu membendung jenayah buang bayi tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan jenayah zina yang dicela oleh agama dan masyarakat yang bertamadun.
Justeru, seks bebas hanya menyamatarafkan manusia dengan binatang yang juga tidak mengerti soal ijab dan qabul dalam kehidupan mereka.
"Kita mendesak agar kerajaan mendengar rayuan agar segera membatalkan konsert seperti ini.
"DPPP bukanlah anti hiburan dan penganjuran konsert para artis tetapi biarlah hiburan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam dan juga norma mulia orang timur," tegas beliau lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan