KANGAR – Pelakon filem dan drama, Abu Bakar Afiffin, 58, yang sering membawa watak jahat, meninggal dunia di rumahnya di Padang Melangit dekat sini, semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.30 malam setelah mengadu sesak nafas dan batuk sewaktu sedang berehat di beranda rumah bersama isterinya.
Isteri allahyarham, Siti Armah Samsuddin, 52, yang ditemui hari ini terkejut dengan kematian suaminya kerana sebelumnya allahyarham kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan.
“Pada pagi sebelum dia meninggal, arwah bersiar-siar dengan berbasikal seorang diri di Taman Rekreasi Sungai Batu Pahat dan sempat melayari facebook di waktu petang,” katanya.
Allahyarham telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Pegawai Sumber Manusia di Epson Toyocom Corporation akhir tahun lalu di Lembah Klang setelah hampir 30 tahun berkhidmat di syarikat itu.
Menurut Siti Armah, allahyarham menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis dan menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Sepanjang hidup bergelar pelakon, arwah pernah membintangi tiga buah filem pada tahun 80an seperti Jiwa Remaja, Cinta dan Lagu dan Antara Hitam dan Putih dan pernah memegang watak penjahat dan gengster dalam drama Gerak Khas dan beberapa drama lain selain iklan televisyen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan