KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan perikatan itu akan mengisytiharkan nama calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas secara rasmi pada 22 Oktober ini.
Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, Pakatan Rakyat Sabah juga akan diberi kuasa memutuskan parti komponen yang akan bertanding di Batu Sapi.
“Pakatan memutuskan bahawa PAS akan meletakkan calonnya di Galas, dan DAP, PKR akan membantu memastikan kemenangan.
“Kami juga memutuskan untuk memberi kuasa kepada Pakatan Sabah agar memutuskan parti yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.
“Keputusan parti mana yang akan bertanding di Batu Sapi akan diputuskan oleh Pakatan Sabah sebelum Isnin ini,” kata Anwar pada sidang media di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada Parti Maju Sabah juga akan bertanding di Batu Sapi, Anwar berkata, Pakatan Rakyat Sabah akan berbincang dengan parti itu.
“Saya serahkan perkara itu kepada Pakatan Rakyat untuk memutuskan,” kata Anwar.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga mengumumkan bahawa konvensyen kedua Pakatan Rakyat akan diadakan pada 19 Disember ini di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Ia akan diadakan di Dewan Millennium, Kepala Batas. Kami akan membincangkan isu-isu berkaitan dengan Felda, Felcra, penempatan-penempatan kampung baru,” kata Anwar.
PAS akan memutuskan calon mereka bagi kerusi Galas malam ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Galas manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.
Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.
Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.
Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.
Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi
Suruhanjaya Pilihan Raya bermesyuarat Jumaat ini menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan itu.
20 ulasan:
sesiapa pun boleh bertanding dan mempunyai peluang..tapi yang penting cara untuk mendapat sokongan perlulah bersih dan adil..
bila bertanding jangan pula ada yang memburuk-burukkan parti pesaing. sebaiknya tunjukkan kemampuan dan bukannya hanya tahu bercakap tentang orang lain.
Harap akan mendapat satu keputusan yang baik kepada semua.
kita tunggu saja nanti siapakah calon yang akan diberikan oleh PKR. harap tidak akan berlaku seperti sebelum ini. Calon PKR tidak datang semasa penamaan calon. Tidak tahu kenapa dan sebab calon PKR tidak dapat datang.
jangan pula setelah memberi kuasa kepada Pakatan Sabah untuk memutuskan parti yang akan bertanding, timbul pula kekecohon kerana tidak puas hati.. teruskan usaha dan semoga berjaya
Diharap semuanya berjalan lancar, tanpa apa2 konflik dalaman.
Saya percaya kehadiran pihak pembangkang dalam semua negara membawa tujuan tertentu secara tidak langsung, iaitu mewujudkan persaingan di antara dua pihak untuk berusaha memberikan output yang terbaik.
Apa apa pun, selamat berjuang.
Bertanding secara sihat, jangan ada yang cuba untuk mensabotaj pihak lain...
Bertanding lah dengan cara yang adil dan bersih supay kemenangan yang diperolehi tu puas hati. hehehe
Setuju mai. Jangan asyik burukkan pihak lain kerana tindakan sedemikian tu pun bukti kelemahan diri sendiri juga:P
Mahu buat gimik la tu Norimah.. Biasalah mahu jadi hero wayang. hahaha
Saya harap semuanya berjalan lancar dan takda kekacauan yang berlaku.
Sama2 lah kita tunggu dan lihat siapa yang menang nanti k.
Inilah semangat perjuangan yang rakyat perlukan. Diharap tiada masalah yang akan timbul semasa pemilihan calon yang akan bertanding.
Mana-mana pihak sekalipun boleh dicalonkan dan akan bertanding di Batu Sapi asalkan calon tersebut mendapat sokongan rakyat.
Semoga calon yang terbaik akan bertanding. Selamat berjuang.
Diharapkan penduduk Batu Sapi dan Galas akan mengundi secara matang dan bijak.
dalam piliharaya ini tk kisah siapa calon yng dipertandingkan, yng penting pilihlah calon yng terbaik.
rkyat perlu mengundi calon yang benar2 tepat.
Catat Ulasan