Selasa, 12 Oktober 2010

Mansor: Pengerusi masjid Pulau Pinang wajib ikuti kursus dakwah

GEORGE TOWN – Kesemua pengerusi masjid di Pulau Pinang akan diwajibkan mengikuti kursus latihan dakwah yang akan diperkenalkan melalui Institut Latihan Dakwah Negeri (ILDN) yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, latihan ini akan menjadi satu kursus wajib sebelum pengesahan pelantikan bagi semua pengerusi masjid mulai awal tahun hadapan.

Kata beliau, tujuan utama latihan ini adalah memberi pendedahan menyeluruh kepada pemimpin-pemimpin masjid mengenai tanggungjawab dan komitmen mereka selaku pengerusi dan pemimpin.

“Ia akan banyak menyentuh mengenai soal akidah dan agama serta meningkatkan ilmu kepimpinan kepada mereka.

“Selain itu institut ini juga akan memberi ruang kepada para huffaz untuk mendapat latihan kepimpinan selain melayakkan diri mereka untuk memimpin masyarakat suatu ketika nanti.

“Modul latihan telah pun disiapkan. Ia dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi setelah semua perkara berkaitan dengan program tersebut lengkap sepenuhnya,” katanya.

Mansor bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Buat masa ini pengerusi masjid pun tidak diwajibkan untuk mengikuti apa-apa latihan formal sebagai memenuhi kriteria untuk memenuhi portfolio tersebut.

Malah di sesetengah tempat pengerusinya adalah mereka yang sudah menjangkau usia 70 tahun atau lebih.

Keadaan itu menyukarkan mereka untuk berinteraksi apabila melibatkan keadaan persekitaran dan kesihatan, kata beliau.

Selain dari ILDN yang akan beroperasi tidak lama lagi, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) akan turut berperanan sebagai satu wadah kepada semua golongan masyarakat dalam negeri ini untuk diberi pembelaan dalam pelbagai disiplin.

YIPP ini juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan, sosioekonomi, pendidikan, kemiskinan umat Islam dalam negeri ini.

“Namun begitu YIPP ini akan banyak menitikberatkan isu-isu pembangunan umat Islam melalui kaedah bantuan yang akan diperolehi melalui pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan.

“Ia akan berperanan sebagai sebuah organisasi bebas yang tidak membebankan Kerajaan Negeri. Di sini semua pihak yang mempunyai komitmen, prihatin serta sanggup berdikari akan menjadi penyumbang kepada kekuatan YIPP,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan yang diambil ini membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) sememangnya memberi perhatian terhadap perkembangan dan pendidikan Islam di negeri ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah pun menambah peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tahfiz dari RM1.5 juta pada 2009 kepada RM1.75 juta tahun ini.

Tiada ulasan: