Khamis, 14 Oktober 2010

Lantai sekolah runtuh, 10 murid di Kedah cedera

BERNAMA

ALOR SETAR – Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Sri Gunong di Gunung Keriang dekat sini cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.

Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.

Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Aliff Hakim Abu Bakar berkata ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.

“Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan,” katanya ketika ditemui di HSB.

Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah.

“Saya jatuh tertiarap. Lutut kanan saya cedera. Saya kemudian menangis. Cikgu angkat saya,” katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian itu.

Seorang saksi kejadian, Ali Mohammad, 49, berkata keseluruhan bangunan termasuk lantai yang dibina sekitar tahun 1970-an itu dipercayai pada asalnya diperbuat daripada kayu dan telah diubah suai oleh pihak sekolah lapan tahun lalu dan digantikan dengan lantai simen tanpa mempunyai konkrit yang kukuh.

“Mungkin kayu yang diletakkan simen di atasnya tanpa konkrit yang kuat tidak mampu menanggung pelbagai bebanan seperti meja, kerusi dan peralatan tambahan kelas menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan,” katanya.

Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Md Noor Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak sekolah mengenai kejadian tersebut kira-kira 11.22 pagi dan mengejarkan 17 anggota dari balai Alor Setar dan Jalan Raja ke tempat kejadian.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah Zuraidi Rahim yang melawat murid-murid di HSB berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa lapan pelajar menerima rawatan pesakit luar manakala dua lagi agak serius kerana kaki mereka dihempap batu dan almari.

“Dua pelajar ini mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Saya harap ada siasatan segera terhadap kejadian ini kerana ada yang tidak kena dengan lantai bangunan sekolah,” katanya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Sekolah asalnya lantai kayu dengan support kayu di bawah lantai. Jarak antara support bawah lantai dlm 2 kaki. Pengubahsuaian dibuat 8 tahun lalu dengan menambah lapisan lantai simen di atas lantai kayu tanpa apa-apa penambahbaikan (strengthening) dilakukan kepada penyokong bawah lantai. Struktur kayu yang menyokong lantai yang dibina pada tahun 1970 memang sudah cukup tua & mula reput. Floor reinforcement yang digunakan adalah jenis wire mesh dan mungkin boleh menampung lantai untuk tempoh yang pendek sebelum putus. Sekiranya reinforcement bar digunakan, lanti tidak akan terus runtuh & hanya akan mendap dan tergantung. Masalah tidak dapat dikesan apabila pihak sekolah menutup lantai simen dengan tikar getah. Tikar getah menyebabkan tanda-tanda awal kesan keretakan tidak dapat dikesan & dilaporkan dengan segera sebelum struktur lantai retak sepenuhnya.