Rabu, 13 Oktober 2010

Kesesakan Melampau LDP: Apa Yang Tak kena?



Pembangunan tidak terkawal di sepanjang laluan LDP dikatakan menjadi punca kesesakan.

HAKIKAT yang tidak dapat kita sangkal, mereka yang memilih untuk tinggal dan mencari rezeki di ibu kota bererti mereka juga sudah bersiap sedia berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

Sama ada mahu ke pejabat atau menuju ke satu lokasi atas sesuatu urusan, saat enjin kereta dihidupkan pada waktu pagi, mahu atau tidak warga kota perlu bersedia mental dan fizikal untuk berdepan masalah ini.

Jika seseorang itu tidak mampu menjadi salah seorang daripada ribuan pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, lebih baik pulang sahaja ke kampung atau tukar kerja yang pejabatnya jauh dari kota.

Antara laluan yang mahu dielakkan pengguna termasuklah laluan Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Cheras - Kajang, Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan paling kritikal pada masa kini, Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP).

Menempuh aliran trafik yang diibaratkan sebagai ‘banjir kenderaan’ di sepanjang LDP pada waktu pagi bukan sahaja membantutkan masa dan urusan, sedikit-sebanyak turut mengganggu emosi pemandu yang pada mulanya bersemangat untuk ke pejabat.

Tamat waktu kerja pada petang hari, mereka sekali lagi tertekan kerana perlu menempuh laluan yang sama untuk pulang ke rumah kerana tiada jalan alternatif.



Trafik masih sesak di Tol Sunway pada pukul 10.15 pagi.

Bagi pengguna LDP yang pulang menjelang malam, mereka dapat menonton ‘pesta cahaya’ percuma yang terbit dari ribuan lampu kenderaan yang melewati laluan tersebut.

Tetapi apa gunanya ‘pesta’ itu jika pemandu yang letih bekerja masih tidak tiba di rumah, fikiran tertekan akibat terperangkap dalam kesesakan dan kaki pula penat menekan brek, klac dan pendikit minyak.

Pengguna laluan ini harus akur apabila mereka perlu menghabiskan masa berjam-jam di dalam kenderaan masing-masing yang bergerak umpama kura-kura sedangkan jarak untuk tiba ke destinasi hanya tinggal beberapa kilometer sahaja.

Awas! Saat itu, elakkan berfikir tentang duit tol yang dikeluarkan bertujuan menikmati perjalanan selesa kerana berfikir tentang itu mungkin akan membuatkan pengguna lebih tertekan.

Tinjauan Mingguan mStar di laluan aliran bebas sepanjang kira-kira 40 kilometer ini mendapati, trafik sesak teruk pada setiap hari bekerja bermula pukul 8 hingga pukul 10 pagi.

Pada waktu petang, trafik merangkak-rangkak bermula pukul 4.30 petang hingga pukul 9 malam sehingga syarikat konsesi Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) terpaksa mewujudkan ‘laluan kontra’ sebagai usaha mencari jalan keluar dari masalah ini.

LDP yang bermula dari Sri Damansara sehingga ke persimpangan Dengkil sesak, namun kesesakan paling kritikal dilihat berlaku di Plaza Tol Sunway dan laluan di Puchong.



Pengguna LDP terdiri daripada mereka yang bebas memasuki laluan ini dari pelbagai arah.

Pada waktu itu, jangan terkejut melihat kenderaan di kiri kanan dengan jarak cuma tidak sampqi sejengkal dari kereta yang dipandu.

Andai ditakdirkan kereta tercalar atau kemek sedikit akibat kemalangan kecil yang berlaku ketika pemandu ‘bergelut’ dengan kesesakan, pasrah sahaja dengan tragedi itu!

Kedudukan bangunan tak strategik, jalan tak bersistematik

Tidak seperti lima tahun sebelum ini, Puchong membangun pesat dengan terbinanya lot-lot kedai, kompleks membeli-belah dan kawasan perumahan.

Dari satu sudut, pertumbuhan ini dilihat positif dan memberangsangkan.

Namun, melihat infrastruktur jalan raya di kawasan terbabit yang nampaknya sudah tidak mampu menampung peningkatan mendadak kenderaan, tidak hairanlah pelbagai persoalan timbul di fikiran pengguna.

Apa sebenarnya yang tidak kena di sebalik pembangunan dan kesesakan melampau yang berlaku?



Aliran trafik di LDP sesak bermula pukul 4 petang.

Berdasarkan pemerhatian, pembangunan tidak terkawal dan keterujaan pemaju projek membina rumah dan pusat komersial di sekitar Puchong menjadi punca kesesakan.

Dalam pada itu, teringat pula kita kepada pihak bertanggungjawab yang merancang dan meluluskan projek-projek tersebut.

‘Terlupa’ untuk membuat kajian dan perancangan barangkali, yang pasti kini pengguna terpaksa melupakan perjalanan lancar ketika lalu di laluan ini.

Tidak cukup dengan dua buah kompleks beli-belah di laluan LDP, sebuah daripadanya yang pada asalnya bersaiz sederhana diperbesarkan dengan saiz sekali ganda.

“Pusat membeli-belah, kawasan bekas lombong yang dibangunkan menjadi lot-lot kedai dengan jaraknya terlalu hampir dengan LDP berakhir dengan pemandangan menyakitkan mata dan menyusahkan pengguna.

“Kenderaan kena beratur panjang untuk masuk ke kedua-dua kawasan tersebut. Untuk susur keluar pun sama,” kata seorang pengguna LDP, Mat Rodzi Ali, 49.

Yang menjadi mangsa tentulah pengguna yang berkongsi laluan sama tetapi bukan menuju ke kompleks beli-belah atau pusat komersial dimaksudkan.

Masalah sama turut dihadapi pengguna dari arah Damansara, Jalan Klang Lama dan Bukit Jalil.

Mereka yang menuju ke Putrajaya atau Dengkil akan terkena tempias apabila terpaksa mengharungi kesesakan akibat simpang-siur pusat komersial dan pembinaan jalan tidak bersistematik.

Gara-gara banyak kenderaan ingin singgah ke lot-lot kedai di sebelah kiri dan ingin membuat pusingan U untuk ke laluan bertentangan, trafik sesak di sepanjang laluan.

Seorang lagi pengguna, Rozita Haron, 44, berkata perhentian bas dan teksi yang terletak betul-betul di tepi jalan turut menyumbang kepada kesesakan.

Jelasnya, seperti kenderaan yang banyak memenuhi laluan di kawasan ini pada waktu puncak, begitu juga jumlah pengguna kenderaan awam yang memenuhi perhentian bas dan teksi untuk pulang ke rumah.

“Teksi banyak yang tersadai di tepi jalan, bas-bas tak ikut lorong yang betul dan kemudian memintas kenderaan lain untuk ambil penumpang.

“Trafik tak dapat dibendung lagi bila hari hujan, berlaku kemalangan atau kenderaan rosak,” katanya.

Tambahnya, sesetengah pengguna terpaksa membazirkan masa merempuh kesesakan hanya kerana pekerja-pekerja Litrak meletak dan mengalihkan kon-kon di sepanjang ‘laluan kontra’.

“Mereka mula letak kon pukul 3.30 petang. Padahal masa tu kenderaan belum banyak dan trafik terkawal.

“Jangan hairan kalau pukul 9 malam pun jalan masih sesak, tapi bukan sebab banyak kereta. Jalan sesak sebab kena bagi laluan kepada lori dan pekerja yang angkat kon.

“Kalau macam itu tak gunalah orang ramai keluar lewat dari pejabat sebab nak elak kesesakan. Lambat juga sampai rumah akhirnya,” katanya.

Tiada ulasan: