Rabu, 13 Oktober 2010

Kes mata lebam, pengurusan kes 11 Nov

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 November ini untuk pengurusan kes saman bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden mata lebam pada 1998.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Lim Kon Keen yang mewakili Musa dan SN Nair mewakili Anwar.

Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 1 Julai, 2008, mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyikan beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Musa, dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 21 Julai, 2008, berkata dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Beliau menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Musa berkata beliau juga tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Menurutnya Anwar berniat jahat apabila membuat laporan polis terhadapnya dan Abdul Gani, dan ketua pembangkang itu berbuat demikian kerana sedang menghadapi pertuduhan baru liwat.

Musa menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Amaun yang dituntut tidak dinyatakan secara spesifik dalam pernyataan tuntutan itu.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Anwar daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Anwar, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 24 Oktober, 2008, berkata laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan justifikasi.


Tiada ulasan: