Rabu, 27 Oktober 2010

Kes Lupus Bukti Jutawan Kosmetik: Remaja Kemuka Rayuan

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Seorang remaja yang dipenjara tujuh tahun selepas mengaku melupuskan bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, hari ini mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Bekas mekanik, K.Saravanan, 19, memfailkan rayuan itu melalui firma Tetuan, A S Dhaliwal di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Pada 15 Okt lepas, Saravanan dan V. Suresh, 26, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Datuk, Banting selepas mengaku bersalah.

Dalam notis rayuannya, Saravanan menyatakan dia tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret Hurman Hussain.

Peguam Avtar Singh Dhaliwal yang menerima arahan keluarga Saravanan untuk memfailkan rayuan itu, memberitahu Bernama bahawa Mahkamah Tinggi belum menetapkan tarikh untuk mendengarnya.

Saravanan dan Suresh masing-masing menghadapi tujuh pertuduhan melupuskan bahan bukti mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap mereka bagi setiap kesalahan, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman itu secara serentak, yang bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Mereka adalah antara lapan yang ditahan polis antara 9 dan 12 Sept berhubung kes kehilangan Sosilawati dan tiga lelaki pada 30 Ogos lepas.

Saravanan didakwa melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44,

Mayat kesemua mangsa dibakar di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam, pada 30 Ogos.

Suresh pula didakwa melupuskan bahan bukti dengan membuang abu mayat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib-Banting, antara 8 pagi dan 10 pagi, pada 31 Ogos.

Pada 13 Oktober lepas, peguam N.Patmanabhan dan tiga pekerja ladang, iaitu T.Thilaiyalagan, 19, R.Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama atas pertuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Tiada ulasan: