Rabu, 20 Oktober 2010

Kabinet lulus polisi gaji minimum, kata Subra

BERNAMA

PETALING JAYA – Kabinet telah memberi kelulusan kepada Kementerian Sumber Manusia melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara, kata menterinya, Datuk Dr S.Subramaniam.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisma gaji minimum.

“Sebarang keputusan pada masa depan dan pelaksanaan (gaji minimum) akan dilakukan menerusi majlis itu berdasarkan kuasa yang diperuntukkan melalui akta baru, yang bakal dibentang di Parlimen pada sesi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan pameran Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2010 di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2010 di Parlimen Jumaat lepas, mengumumkan penubuhan majlis itu, yang akan menjadi patform utama penentuan gaji di negara ini.

Beliau berkata Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dianggotai wakil majikan, kesatuan sekerja, pekerja tanpa kesatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat majlis itu akan ditempatkan di Kementerian Sumber Manusia.

Mengenai peruntukan RM500 juta bagi latihan kemahiran yang diumumkan dalam bajet yang sama, Subramaniam berkata program itu akan dilaksanakan oleh beberapa kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Majlis Amanah Rakyat.

Beliau berkata pihaknya akan memperkemas semua latihan dengan kementerian berkenaan melalui Majlis Penyelarasan Pembangunan Kemahiran bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai.

Katanya, penyediaan kelas malam dan hujung minggu untuk latihan kemahiran adalah selaras dengan rancangan kerajaan bagi membentuk budaya pembelajaran sepanjang hayat di negara ini, selain membantu golongan berpendapatan rendah mengikutinya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Subramaniam berkata kenaikan antara RM500 hingga RM700 gaji minimum pengawal keselamatan tidak boleh diambil kira, kerana secara amnya, mereka menerima gaji antara RM900 dan RM1,000 dengan bayaran untuk kerja lebih masa.

Menyifatkan perkara itu sebagai “lonjakan” dalam pendapatan, menteri itu berkata: “Sebelum ini, gaji pokok (pengawal keselamatan) ialah kira-kira RM300, tetapi kini ia telah dinaikkan antara RM500 dan RM700.”

“Selanjutnya, pengawal keselamatan turut mendapat sumbangan lebih untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka,” katanya sambil menambah bahawa pendapatan pengawal keselamatan akan meningkat dengan lebih ketara selepas pengumuman Perdana Menteri itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata hanya 28 peratus daripada 9.8 juta tenaga kerja di negara ini merupakan pekerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata kerajaan berhasrat mencapai 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus pada 2020.

“Di bawah Program Transformasi Ekonomi, kira-kira 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya adalah kategori berkemahiran tinggi,” katanya.

16 ulasan:

tombolo berkata...

harap penetapan gaji minimum akan dilaksanakan di negara ini secepat mungkin, gaji minimum wajar dilaksanakan kerana kos hidup masa kini yng semakin meningkat.

Anak Sabah berkata...

Baguslah kalau macam ini, polisi gaji minimum ini sememangnya diperlukan. Diharapkan ini boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Anak Sabah berkata...

Mungkin dengan polisi ini, para penggangur akan lebih berusaha mencari pekerjaan kerana gaji minimum ditetapkan. Para pekerja juga haruslah berusaha bekerja.

evan medhousky berkata...

satu langkah yang baik selaras dengan tuntuan rakyat Malaysia. diharapkan selepas ini akan lebih banyak usaha2 kearah merealisasikan matlamat wawasan 2020.. tidak ada yang mustahil jika ada kesungguhan dipihak kerajaan.

Hamdan Hadillah berkata...

Harap dengan gaji mimimum ini akan dapat membantu serba sedikit mengurangkan beban para pekerja.

Leo berkata...

Dengan kelulusan polisi gaji minimum, kualiti hidup rakyat pasti akan meningkat.

Unknown berkata...

Ini adalah satu berita yang baik untuk semua pekerja. Terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan polisi gaji minimum.

Tanpa Nama berkata...

penetapan gaji minimum amat diharapkan oleh golongan pekerja. gaji minimum bukan saja meningkatkan kualiti hidup malah dapat meningkatkan motivasi golongan pekerja untuk bekerja.

amy berkata...

Ini satu berita gembira! Nampaknya para majikan sudah tidak boleh mengambil kesempatan dalam menggaji pekerjanya. Ada yang mempunyai ijazah sarjana tapi gaji sama taraf dengan pemegang diploma.

amy berkata...

Saya juga bersetuju dengan pendapat komentator yang lain, jika gaji yang diterima setimpal dengan kelulusan atau pengalaman, para pekerja secara psikologinya akan lebih rajin melaksanakan tugasan. Semua pun meminta bayaran di kala ini.

azman berkata...

ini satu perkembangan positif dan diterima baik oleh semua. pekerja pasti akan merasa gembira jika memperoleh gaji yang setimpal dengan bebanan kerja dan juga kelayakan mereka.

Paquin berkata...

Hal ni suatu yang mengembirakan. Saya harap penetapan gaji minimum dapat dilaksanakan secepat mungkin :)

Paquin berkata...

Apapun perkara ini harus dikaji dan dirancang sebaik mungkin supaya takda masalah yang timbul kelak.

mike berkata...

baguslah..sudah lama para pekerja di malaysia mengharapkan polisi ini diluluskan..

mike berkata...

diharap akta baru akan dilaksanakan..majlis konsultasi gaji negara diharap akan menjalankan tugas mereka dengan baik dengan meletakkan kebajikan pekerja sebagai prioriti.

mike berkata...

adakah gaji bagi pekerja separuh masa juga tetakluk kepada polisi gaji minimum? kerajaan juga harus mengambil kira kepentingan pekerja separuh masa..