Khamis, 7 Oktober 2010

Hisham: AG sedang rangka garis panduan media komprehensif

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara sedang merangka penyediaan garis panduan media yang lebih menyeluruh bagi membantu pengamal media untuk membuat laporan secara lebih positif tanpa menjejaskan amalan kebebasan media di negara ini.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata garis panduan itu juga penting kepada kementeriannya sebagai panduan tindakan undang-undang kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“Kerajaan mengambil langkah-langkah ini semata-mata bagi memastikan amalan media di negara ini bersih dari elemen hasutan, fitnah, tohmahan dan perkara negatif perhadap pembangunan negara dan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2009 anjuran Institut Akhbar Malaysia (IAM) di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pengarang Kumpulan Sin Chew Media Corporation Bhd Datuk Liew Chen Chuan dianugerah Tokoh Wartawan Negara Kelapan sebagai tanda penghargaan sumbangannya dalam bidang kewartawanan tanah air.

Hishammuddin juga berkata bagi membantu media tempatan dalam membuat laporan yang lebih bertanggungjawab berkaitan pembangunan rakyat, sebuah jawatankuasa pengukuhan strategi komunikasi kerajaan ditubuhkan, yang juga berperanan memantau kesemua penerbitan akhbar dalam setiap bahasa.

“Perbincangan juga telah dimulakan melibatkan tiga kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan KDN bersama Jabatan Peguam Negara untuk meneliti perkara ini secara mendalam,” katanya.

Beliau berkata KDN sangat terbuka dengan kebebasan media khususnya media cetak, sambil berharap pengamal media mempraktikkan elemen bertanggungjawab dalam setiap laporan mereka.

“Benar, kita pernah mengambil tindakan (terhadap media), namun ianya dilakukan di dalam peruntukan undang-undang yang wajar dan bersesuaian.”

“Tindakan kita terhadap '”Surat Berita Parti” jangan disalah anggap sebagai tindakan umum kepada media cetak secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, KDN menyokong penuh pembangunan industri penerbitan akhbar apabila sehingga ini sejumlah 76 akhbar dalam pelbagai bahasa termasuk 45 di Semenanjung Malaysia diberikan permit penerbitan.

Hishammuddin berkata berbanding permit penerbitan yang banyak itu, tiada akhbar dikenakan tindakan keras seperti digantung atau dibatalkan permit sebaliknya hanya 19 tindakan iaitu dalam bentuk nasihat, teguran dan tunjuk sebab dikenakan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa sesuatu tindakan hanya akan diambil berasaskan perundangan sedia ada.

“Bantulah memerangi kebencian, pertelagahan dan prejudis. Tolonglah tegakkan hujah berasas, dialog dan keharmonian. Hindari menjadi media yang sombong dan angkuh, tidak sensitif, tidak tepat, berat sebelah yang keterlaluan dan sensasi yang tidak berhemah,” katanya.

Tiada ulasan: