Samada PRK ini akan berlangsung secara serentak dengan PRK Dun Galas yang penamaan calonnya ditetapkan pada 26 Oktober ini dan pengundiannya pada 4 November depan, itu tidak pasti.
Tetapi yang pasti PRK pertama di Sabah ini mencetuskan beberapa perkara menarik.
PERTAMA, Sekutu-sekutu BN di Sabah kini berdepan dengan pelbagai krisis dalaman khususnya desakan agar Parti Liberal Demokratik (LDP) keluar dari BN selepas dua Timbalan parti itu membuat kacau termasuklah mempertikaikan kepimpinan Pengerusi BN Sabah, Musa Aman.
Dua timbalan itu ialah timbalan presiden LDP, Chin Su Phin dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Karamunting, Peter Pang En Yin.
Chin Su Phin bertekak dengan Musa dalam mesyuarat BN negeri baru-baru ini manakala Peter (gambar bawah) keluar LDP dan mahu melompat ke parti Gerakan seperti yang dikatakan oleh Pengerusi BN Pusat, Najib Razak.
Menariknya, Adun Karamunting merupakan salah satu Dun yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.
Rekod menunjukkan, LDP ialah sekutu tertua BN di Sabah tetapi parti itu juga antara parti yang terkecil dan paling bermasalah di Sabah ketika ini. Ulasan ringkas di sini.
Bagi Parlimen Batu Sapi, walaupun ia diakui antara kubu BN, namun peluang Pakatan Rakyat untuk menang tetap ada bukan hanya kerana krisis BN di Sabah kian parah ketika ini tetapi juga keserasian gabungan itu yang kian kukuh sejak dua tahun lalu.
Ujian terhadap kerjasama Pembangkang di Sabah.
KEDUA, ini merupakan PRK yang pertama di Sabah selepas rakyat di negeri itu kecewa apabila mahkamah memberi kemenangan kepada Presiden PBRS di Parlimen Pensiangan.
Jika tidak, PRK Pensiangan hampir pasti diadakan secara serentak dengan Dun Batang Air, Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang pada April tahun lalu.
Buat pengetahuan bersama, kegairahan rakyat Sabah terhadap pilihanraya di Sabah khususnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu cukup tinggi dan ini dibuktikan dengan kewujudan pelbagai laman blog berkaitan Pensiangan di Sabah yang dinanti-nantikan berkemungkinan adanya PRK ketika itu.
PRK Parlimen Batu Sapi jika adanya pertandingan mungkin PRK yang ke13 sebelum PRU ke13 jika tiada lagi PRK selepas ini.
KETIGA, PRK Parlimen Batu Sapi ini juga akan menguji pendirian Parti Maju Sabah (SAPP) yang sejak meninggalkan BN pada 17 September 2008, sehingga kini enggan berada di bawah bumbung Pakatan Rakyat (PR).
Sikap SAPP terhadap PR akan teruji buat pertama kali pada PRK ini samada mereka akan meletak calon dengan bertembung dengan calon PR atau tidak.
SAPP sehingga kini enggan bertolak ansur dengan PR yang mahu bertanding lebih 40 daripada 60 kerusi Dun di Sabah, sesuatu yang bakal mencetuskan pertandingan lebih tiga penjuru seterusnya membantu kemenangan BN dengan mudah kerana undi terhadap pembangkang di Sabah akan berpecah.
KEEMPAT, BN hampir pasti mengekalkan calon dari sekutunya iaitu PBS, untuk bertanding pada PRK kali ini.
Mungkin koleksi ucapan parti dan pemimpin itu semasa jadi pembangkang dan kerajaan di Sabah boleh dibongkar semula.
Apa sudah jadi dengan PBS yang melompat ke BN buat kali kedua dan kegagalan mereka sepanjang dalam BN di Sabah.
Sesuatu yang pasti, pemimpin dari parti inilah yang lantang mahu mewujudkan kasino di Sabah.
Samada kasino akan dibina atau tidak di bina di Sabah, yang pasti, Presiden parti ini, Pairin Kitingan pernah mencadangkannya dalam satu persidangan Dun suatu ketika dahulu.
Pairin ialah satu-satunya pemimpin BN yang bertanding dua kerusi serentak pada PRU lalu dan PBS juga ialah satu-satunya sekutu BN yang tewas kerusi dalam PRU lalu berbanding sekutu mereka yang lain.
KELIMA, perangai Umno sebelum ini yang sering menuntut kerusi dari sekutunya mungkin akan kedengaran lagi kali ini.
Sebelum ini, Umno menuntut kerusi dari sekutunya termasuklah dari PBRS, UPKO, LDP dan PBS.Tunggu dan lihat.
KEENAM, berkaitan calon, jika PR memberi laluan kepada PKR, siapa pula akan terpilih bagi mewakili parti itu ?
Berikut mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan.
1. Datuk Kong Hong Ming (Naib Pengerusi1 PKR negeri Sabah, sekiranya PKR mahu meletakkan calon berketurunan Cina)
2. Datuk Nahalan Damsal (Ketua Cabang Batu Sapi dan calon PKR di Dun Sekong yang juga terletak dalam Parlimen Batu Sapi)
3. Chung Kwong Wing calon Bebas yang bertanding di kawasan itu Pada PRU lalu. (PKR kan dah biasa jemput siapa sahaja untuk bertanding)
4. Datuk Dr. Jefrey Kitingan (Naib Presiden PKR Pusat)
5. Hj Tamrin Mohd Jaini (Calon PKR Dun Sungai Sibuga di mana Dun ini berhampiran dengan Parlimen Batu Sapi. Tamrin ialah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah)
6. Datuk Halik Zaman (Ketua Cabang PKR Tenom yang juga tokoh PKR Sabah yang kian meningkat naik. Halik sejak setahun lalu dilihat banyak diberi peranan oleh PKR Pusat terutamanya di Tenom selain memiliki pengaruh tersendiri di negeri itu.
Kekuatan yang ada pada tokoh ini selain seorang ahli perniagaan, beliau juga banyak mengorbankan wang poket sendiri untuk memajukan PKR di negeri itu.
Walaubagaimanapun, siapa juga calon PKR atau Pakatan Rakyat yang diletakkan nanti, biarlah mereka yang tahan uji dan setia dalam perjuangan.
Rakyat sudah muak dengan adegan lompat parti yang mengkhianati amanah rakyat.
Kalau susah sangat, beri sahaja peluang kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu dengan mempertimbangkan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Batu Sapi, Tuan Hj Hamzah Abdullah sebagai calon.
Hj Hamzah ialah rakan kepada presiden SAPP, Yong Teck Lee ketika menuntut di London yang ketika itu beliau merupakan Presiden Kesatuan Pelajar Sabah di United Kingdom.
Bekas Pesuruhjaya PAS Sabah ini banyak memperjuangkan hak rakyat di kawasan itu khususnya berkaitan rampasan tanah yang di lakukan oleh rejim BN di Sabah.
Secara kebetulan, Himpunan isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) akan diadakan di Dewan Utama, SM Kian Kok, Likas, Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2010 (Ahad) yang kempen mengenainya telah pun berjalan sejak beberapa bulan lalu di Sabah.
Secara kebetulan juga, Hj Hamzah ialah Pengerusi HEMPAS pada tahun ini.
Pertimbangkan juga faktor berikut :
- Komposisi pengundi berasaskan PRU lalu. Bumiputra Islam : 60.02%, Bumiputra Islam : 2.24%, Cina : 37.33%, Lain-lain : 0.41%.
- Budaya ugut dan rasuah oleh pihak BN terhadap pengundi, jentera PR perlu menerangkan dengan baik dan rasional isu ini dan bukannya beremosi dengan mengutuk rakyat.
- Elakkan ucapan berbentuk sentimen perkauman, janganlah jentera, ahli dan pimpinan PR terperangkap dengan cara kuno Umno-BN yang sanggup memanaskan suhu perkauman di negara yang majmuk ini semata-mata demi kepentingan politik mereka.
- PR harus mengakui bahawa masih ramai rakyat di Sabah termasuklah mereka yang menyokong Pakatan Rakyat tidak jelas dan masih tidak faham berkaitan isu ini.
- Lebih parah lagi, ia dimanipulasi secara jahat oleh Umno-BN melalui media upahan mereka secara berterusan seterusnya menggagalkan usaha perpaduan di negara ini.
- Rakyat Sabah sudah lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni, marilah kita kekalkan keadaan itu dengan kempen politik secara matang dan profesional. Walaupun kita akui PR tetap dinafikan untuk berkempen di media arus perdana.
Sila dapatkan ulasan terperinci dalam keluaran KABAR akan datang.
KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.
16 ulasan:
tidak kira kepada mana-mana pihak pun, persaingan yang sihat dan bersih amat diharapkan dalam pilihan raya yang akan dilakukan nanti.
dalam pilihanraya kecil di parlimen Batu Sapi, sebaiknay biarlah ia dijalankan dgn cara baik dan adil. rkyat yg akan menentukan calon yng menang.
jentera BN juga perlu menerangkan kelemahan2 PR samada yang berlaku di SM mahupun di Sabah. tidak semua rakyat Batu Sapi mengetahui cerita2 hangat politik di Malaysia. jadi, jika PR menggunakan kelemahan2 BN untuk meraih sokongan, BN juga perlu melakukan perkara yang sama..
walaupun Batu Sapi dikenali sebagai kubu kuat BN, itu tidak bermakna BN berada dalam kedudukan yang selesa. teruskan persiapan dan jangan memandang rendah dengan strategi pihak lawan.
Yang penting, bertanding secara bersih dan adil!
Bermacam-macam isu kelaur sudah. Memang beginilah kalau kehidupan dalam politik. Semua pun tidak tenang.
bertanding secara bersih itu memang sudah kewajiban para ahli politik. Oleh itu janganlah mencacatkan politik dengan [erkara yang tidak diingini berlaku.
Diharapkan pilihan raya kecil ini akan berjalan lancar dan selamat berjuang semua calon dan juga pengundi Batu Sapi.
Semoga calon terbaik akan muncul sebagai pemenang.
Diharapkan parti yang akan menang nanti tidak akan 'melepaskan batu di tangga' sahaja.
rakyat kena membuat pilihan dengan bijak. jangan mudah terpengaruh dengan cakap-cakap kosong dan yang penting pilih calon yang terbaik untuk mewakili mereka.
jika PKR meletakkan calonnya pada PRK Batu Sapi maka satu persaingan yang sengit akan berlaku..BN haruslah bersedia kerana PKR akan menggunakan apa saja isu yang boleh digunakan untuk mengugat BN.
sikap sambil lewa dan terlalu yakin mungkin akan menyebabkan BN kalah dalam PRK itu nanti..walaupun Batu Sapi antara kubu kuat BN namun tidak bermakna kemenangan berpihak pada BN..yang penting semua parti komponen BN harus bekerjasama memastikan Batu Sapi tetap dalam tangan BN.
tidak dinafikan BN mengalami beberapa kemelut dalaman parti..demikian juga dengan PKR..kemelut dalaman ini harus diketepikan dulu bagi memberi laluan kepada PRK Batu Sapi..
pengundi haruslah bijak menilai dan memilih calon yang akan menjadi wakil mereka kelak..apa pun, keputusan berada di tangan pengundi.
diharap agar proses PRK itu nanti akan berjalan dengan lancar dalam suasana yang aman.
Catat Ulasan